MOSCOW: Anak perempuan sekutu rapat Presiden Russia, Vladimir Putin dilaporkan terbunuh dalam insiden bom kereta di pinggir Moscow.
Media tempatan melaporkan, Daria Dugina yang merupakan anak perempuan kepada Alexander Dugin terbunuh apabila bom diletakkan di dalam keretanya ketika dia memandu di lebuh raya berhampiran kampung Bolshie Vyzyomy, 40 kilometer di pinggir Moscow.
Dugina mati di tempat kejadian dan kertas siasatan sudah dibuka.
Bapanya yang sering digelar sebagai ‘otak Putin’ merupakan ahli akademik ultranasionalis.
Dugin sudah lama menyokong penyatuan wilayah yang berbahasa Russia dalam empayar Russia yang baharu, selain bersetuju dengan operasi ketenteraan Moscow di Ukraine.
Beliau diletakkan dalam senarai sekatan Barat selepas Russia menguasai Crimea pada 2014.
Dalam pada itu, Russia percaya insiden yang menimpan Dugina mempunyai kaitan dengan Ukraine.
Mereka mendakwa Ukraine menyasarkan Dugin, namun mengenai anak perempuannya. – AFP