Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Antara BN dan Warisan: Siapa bertuah miliki Kimanis?

0

EKSKLUSIF

Profesor Ir Dr. Rosalam Sarbatly

PERPADUAN masyarakat yang masuk pusingan akhir pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis yang rata-rata terdiri daripada suku kaum Brunei dan Dusun jelas menggambarkan nilai toleransi tinggi sebenar masyarakat pelbagai kaum di Sabah yang mampu merentasi ideologi kepartian. Ini jelas terbukti menerusi kempen-kempen mesra dan sihat tanpa ada tanda-tanda yang menjurus kepada pertelingkahan khususnya dikalangan peraih-peraih undi dan para penyokong kedua-dua pihak.

Melihat kepada kempen kedua-dua parti yang bertanding, BN yang diwakili oleh Datuk Muhammad Alimin (48 thn) selaku parti pembangkang telah membawa isu PSS sebagai bahan kempen utama selain isu-isu pentadbiran kerajaan Negeri yang dikatakan masih tidak mempunyai hala tuju rancangan pembangunan dan isu-isu nasional khususnya kegagalan kerajaan pimpinan PH menunaikan manifesto.

Di pihak kerajaan yang diwakili  Datuk Karim Bujang (67 thn) daripada parti Warisan pula lebih menumpukan kepada usaha menerangkan pengenalan dasar PSS khususnya oleh Datuk Azis Jamman selaku Timbalan Menteri Dalam Negeri Malaysia dan Ketua Pemuda Warisan selain menyatakan kelemahan-kelemahan pemerintahan BN semasa menjadi kerajaan. Kerajaan Negeri Sabah pimpinan Datuk Seri Shafie Afdal juga telah berjanji akan menjadikan Kimanis sebagi Daerah penuh sekiranya Parti Warisan menang dalam PRK kali ini.

Secara dasarnya, PRK Kiminas kali ini lebih tertumpu kepada usaha pungutan suara bagi mengetengahkan sejauh mana dasar Pas Sementara Sabah (PSS) dapat diterima oleh masyarakat Sabah atau sebaliknya sebagai satu langkah kerajaan Sabah dalam menyelesaikan isu Pendatang Tanpa Izin (PTI) yang sudah berakar umbi sejak 1970 an lagi. Tanpa sebarang usaha penyelesaian, isu PTI ini jelas akan terus membelenggu perkembangan kemajuan di Sabah kerana kehadiran mereka secara tidak terkawal telah menyebabkan berlaku banyak isu-isu sosial, keselamatan dan mencemar kebersihan alam sekitar yang tidak dapat diurus dengan baik sebelumnya.

Isu-isu berkaitan PTI ini mesti diselesaikan segera bagi menjamin Sabah terus bergerak Kehadapan lebih-lebih lagi bumi Sabah merupakan destinasi pelancongan yang menjadi tumpuan masyarakat dunia. Selain itu, penyelesaian isu PTI juga akan menghentikan polemik politik PTI yang telah berlaku sekian lama.

Isu PSS merupakan isu utama yang ditimbulkan oleh pihak pembangkang sebagai tatapan umum (public trial). Ia satu perkara yang baik dan menguntungkan rakyat Sabah untuk turut serta membincangkan isu secara terbuka. Oleh itu, adalah amat penting bagi pihak kerajaan mengambil peluang sepenuhnya bagi menerangkan secara terperinci kepentingan menyelesaikan isu PTI ini segera. Isu PTI merupakan penyakit kronik yang mesti dirawat segera kerana isu ini telah lama membelenggu perkembangan kemajuan di Sabah.

Selain itu amat penting juga untuk diterangkan bagaimana penyelesaian isu PTI menerusi dasar PSS dapat memberi kelebihan besar kepada masyarakat tempatan misalnya dapat membantu dalam usaha membesarkan kek ekonomi Sabah bagi membuka ruang dan peluang lebih besar dalam peningkatan peluang pekerjaan kolar putih untuk di isi oleh penduduk tempatan selain penyelesaian isu setinggan yang telah lama menjadi faktor pencemaran alam sekitar baik di darat mahupun laut.

Pembanterasan sindiket-sindiket haram berkaitan PTI misalnya aktiviti penyeludupan rentas sempadan dijangka akan dapat mengurangkan ketirisan kutipan cukai menerusi dasar PSS. Begitu juga dengan penyelesaian kes tenaga buruh tanpa hak-hak kemanusiaan serta kes pemerdagangan manusia dijangka mampu membentuk imej positif Sabah di peringkat antarabangsa sebagai sebuah kerajaan yang bertanggung jawab dalam mengurus hak asasi manusia.

Tanpa menerangkan kepentingan PSS kepada masyarakat tempatan, Warisan akan terus dilihat sebagai sebuah Kerajaan mesra PTI. Sebaliknya, kejayaan menerangkan dasar PSS dengan baik sebagai mekanisme yang dijangka dapat mengatasi isu PTI seterusnya memberi kelebihan kepada masyarakat tempatan merupakan penentu keputusan dalam PRK Kimanis. Selain PSS, adalah wajar bagi pihak kerajaan menerangkan dan menawarkan usah-usaha atau cadangan-cadangan kerajaan yang boleh menjadi sumber ekonomi baharu khususnya di kawasan Parlimen Kimanis misalnya  pengukuhan industri perikanan di Kimanis dan pembangunan bandar pendidikan di Binsuluk sebagai cadangan plan pembangunan jangka sedarhana dan panjang.

Apa yang penting, anak-anak kita mesti sentiasa diingatkan bahawa dunia hari ini sudah jauh berbeza berbanding dengan dunia masa lalu yang begitu konservatif dalam isu-isu penghijrahan rentas sempadan. Isu sebenar kita hari ini adalah bagaimana setiap ketua dalam masyarakat mampu membentuk generasi yang mampu bersaing secara terbuka dalam dunia tanpa sempadan bukan lagi menerusi keistimewaan-keistimewaan tertentu untuk hidup yang lama-kelamaan keistimewaan itu akan pupus. Inilah realiti kehidupan sebenar seperti diterangkan dalam teori evolusi kehidupan Darwin “survival of the fittest”.

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.