EKSKLUSIF
LIMA sebab utama kenapa Sabah menjadi pusat warga asing; i) perang di Selatan Filipina bermula 1968, ii) pembukaan ladang sawit secara besar-besaran di Sabah bermula 1970, iii) faktor kedudukan geografi dan sejarah iv) geopolitik dalaman menerusi perebutan kuasa USNO-PBS pada tahun 1985 serta kemasukan UMNO ke Sabah pada tahun 1990, v) dasar luar Kerajaan Filipina masih menganggap Sabah sebagai hak wilayah mereka.
Konflik Moro di Selatan Filipina (1968-2019). Konflik ini telah bermula sejak Amerika menguasai Selatan Filipina seawal 1920. Peristiwa pembunuhan Jabidah 1968 oleh tentera kerajaan Filipina yang mengorbankan 60 komando Moro dan pembunuhan 65 orang awam Manili di masjid oleh tentera Filipina melahirkan Moro National Liberation Front (MILF) yang ditubuhkan oleh Profesor Nur Misuhari daripada University of Phillipina. Pada tahun 1974 sekitar 1000 orang lagi penduduk awam Moro dibunuh dikenali sebagai pembunuhan Malisbong melahirkan Moro Islamic Liberation Front (MILF) semasa Presiden Ferdinand Marcos. Abu Sayyap ditubuhkan setelah pertemuan dengan Osama bin Ladin 1980. Sepanjang perang 1968-2019 sekitar 120,000 nyawa terkorban. Konflik ini menyebabkan berlaku ramai pelarian perang ke Sabah khususnya ke kawasan Pantai Timur Sabah.
Pembukaan ladang Sawit di Sabah 1970-2000 oleh syarikat-syarikat perladangan Malaya: Pembukaan sektor perladangan secara besar-besaran di Sabah berlaku pada 1976-1985 semasa era Berjaya misalnya oleh Felda, Sime-Darby, Golden Hope, IOI dan lain-lain. Ladang-ladang ini memerlukan pekerja yang ramai. Bagi memenuhi keperluan, syarikat-syarikat menggunakan pelarian-pelarian Perang dan warga Kalimantan sebagai pekerja ladang kerana kerahan tenaga boleh dilakukan dengan upah yang rendah. Warga tempatan pula dijadikan peneroka seperti sepatutnya dilakukan oleh Felda dan SLDB, namun jumlahnya terhad dan dianggap kurang menguntungkan. Kemasukan syarikat-syarikat Malaya telah membuka sekitar 1 juta hektar sehingga tahun 2000 dan 1.5 juta hektar sehingga kini. Pembukaan tanah di Sabah pada zahirnya telah menghalalkan pembukaan hutan dan pembalakan tidak terkawal sedangkan impak ekonomi kepada masyarakat tempatan amat rendah.
Geopolitik dalaman Sabah (1985-1994). Apabila PBS tidak memenuhi janji kerjasama bersama USNO selepas kemenangan PBS-USNO menumbangkan Berjaya pada 1985, sikap tamak ini membuka ruang UMNO pimpinan Tun Mahathir di bawa masuk ke Sabah. Bermula sekitar 1990 projek permerdagangan Kad Pengenalan (IC) kepada warga asing berleluasa yang dijual pada kadar RM500-RM1000. Projek IC palsu dikatakan telah membantu UMNO dalam menyaingi PBS pada pilihan raya tahun 1994 dan seterusnya. Namun apabila kerajaan membuat pertukaran IC, sebilangan besar pemilik IC yang diperolehi tidak sah. Mereka yang memiliki IC ini kembali menjadi PTI. Namun PTI juga sudah membiak dan beranak pinak, sebahagiannya telah berkahwin dengan orang tempatan kerana ada IC palsu dan/atau atas dasar cinta.
Negara Filipina pula menganggap Sabah adalah hak Wilayah mereka. Pendirian ini menyebabkan mereka tidak pernah bersetuju membuka Konsul di Sabah bagi mengurus warganya. Sebaliknya Kerajaan Filipina sentiasa memperbaharui tuntutan setiap kali berlaku kempen pilihan raya mereka. Pendirian ini amat menyulitkan proses penghantaran balik PTI. Selain itu, faktor geografi, perniagaan sempadan, kawalan sempadan tang lemah dan hubungan kekeluargaan yang sudah berlaku sekian lama sebelum lagi pembentukan Malaysia pada 1963 adalah antara sebab menyumbang migrasi mudah antara sempadan.
Kebanyakan pelarian perang dan PTI ladang yang datang ke Sabah sekitar 1969-1990 secara umumnya ramai yang telah meninggal dunia. Golongan PTI hari ini rata-rata adalah anak cucu pendatang yang lahir dan membesar di Sabah dan telah berubah menjadi Orang Tanpa Warganegara (OTW). Tanpa dokumentasi dan rekod pengenalan diri yang sah, isu ini semakin sulit untuk diselesaikan dalam masa singkat. Sulit kerana negara asal mereka sendiri tidak lagi mengiktiraf mereka sebagai warganegara kerana ketiadaan dokumen sah selain OTW ini kebanyakan lahir, membesar dan punya keluarga di Sabah. Penghantaran pulang tanpa dokumen diri yang jelas mereka akan menyulitkan penguatkuasaan dilakukan apabila mereka kembali ke Sabah.
Jelas sebelum ini tiada penyelesaian tuntas bagi tujuan dokumentasi walaupun ada usaha penghantaran pulang. Sebahagian OTW ini pula hanya dijadikan sebagai hamba kepada masyarakat tempatan selain bahan kempen politik, dan bukan untuk diselesaikan. Mereka menjadi hamba kerana bekerja tanpa pembelaan sepatutnya sebagai manusia misalnya hak asas sebagai manusia seperti persekolahan. Kebebalan kelompok OTW ini telah menjadi masalah sulit dalam sistem masyarakat. Isu Pendatang Tanpa Izin (PTI) yang berlaku sejak 1969 hingga 2019 dalam pelbagai peralihan era pentadbiran USNO, BERJAYA, PBS, dan BN tiada pernah dilakukan secara tuntas. Hari ini jumlah mereka dianggar mencecah sejuta orang termasuk yang telah memiliki IC. Kelompok yang mendapat manfaat dengan kehadiran OTW adalah pegawai penguasa kaki rasuah, sindiket-sindiket PAS kerja, dan penyedia pekerja haram (mungkin juga melibatkan pemerdegangan orang), agen-agen menghantar pulang pekerja asing, dan orang-orang politik yang menjadikannya sebagai bahan kempen.
Apa kita boleh menghantar mereka pulang? Jawabnya boleh, tetapi usaha itu sia-sia kerana mereka akan datang semula beberapa hari selepas itu. Dengan kata lain, jika usaha itu berjaya, isu ini sudah lama selesai. Kerana usaha itu gagal, apa pilihan kerajaan yang ada? Kalau mengikut perlembagaan, sebilangan sepatutnya diberikan kewarganegaraan itupun jika memenuhi syarat-syarat seperti terkandung dalam perlembagaan. Namun atas dasar bagi menjaga kepentingan anak watan Sabah, cadangan pengenalan PSS dikemukakan oleh pihak Kerajaan yang jelas sebagai proses dokumentasi pengenalan diri yang sah. Bermakna, jika proses penghantaran pulang perlu, peluang untuk mereka kembali ke Sabah juga semakin sukar kerana identiti mereka sudah direkodkan.
Benarkah cerita yang mengatakan PTI mempunyai keistimewaan lebih kerana diberi PSS selama tiga tahun berbanding dengan orang Malaya yang hanya diberi permit masuk tiga bulan? Ini satu lagi retorik politik. Kehadiran orang Malaya ke Sabah adalah sebagai warga negara Malaysia yang merebut peluang kerja-kerja sektor awam dan swasta yang sepatutnya di isi oleh orang tempatan Sabah seperti termaktub dalam MA63, sedangkan pemilik PSS hanya berpeluang sebagai pembantu atau pekerja bagi mengisi di sektor misalnya sektor pembinaan, perladangan, atau pembantu rumah yang boleh membantu pembangunan dan ekonomi Sabah. Kerana jumlah mereka yang ramai serta tiada keperluan untuk para pegawai kerajaan menghabiskan masa menghadap mereka setiap tahun, pembaharuan setiap tidak tahun dicadangkan. PSS juga dikenakan bayaran tahunan sekitar RM40 yang boleh ditingkatkan jika perlu. Soalnya, pernah kita dengar rakan kita dari Malaya dihantar pulang kerana bekerja melebihi tempoh di Sabah?
Apa berlaku kepada pemegang PSS seterusnya? Apa mereka akan memperbaharui sehingga 100 tahun? Tidak mungkin bagi pemegang PSS memperbaharui permit sehingga 100 tahun atau lebih kerana setiap yang hidup akan mati. Sepanjang hidup, sebahagian mereka akan berasimilasi dengan penduduk tempatan. Anak-anak mereka ada yang akan menjadi warganegara Malaysia mengikut peruntukan undang-undang sedia ada. Bagi mereka yang berkahwin sesama pemegang PSS, anak mereka akan kekal sebagai pemegang PSS, namun perlu juga dilihat sekiranya perlu untuk dipertimbang menjadi warganegara, tetapi mesti berlandaskan perlembagaan negara. Jika mereka berkahwin dengan bukan warga negara, amalan undang-undang kewarganegaraan yang sama diguna pakai. Kad PSS mereka juga boleh ditarik balik atas sebab-sebab tertentu misalnya jenayah berat. Berdasarkan kaedah PSS ini terdapat harapan masalah OTW yang wujud di Sabah sejak sekian lama dapat diselesaikan, namun ia memerlukan masa yang panjang serta komitmen kuat dari semua pihak.
Apakah PSS akan menggalakkan kemasukan PTI? Selagi kawalan sempadan lemah dan ekonomi di Sabah lebih baik berbanding negara jiran, selagi itu PTI dari pelbagai negara akan menyusup masuk. Ini berlaku di kebanyakan negara-negara di dunia khususnya apabila negara jiran menghadapi konflik dalaman dan ekonomi yang buruk. Namun, dengan kawalan sempadan yang ketat serta penguatkuasaan undang-undang yang berterusan, isu pendatang tidak akan timbul.
Kesimpulannya, PSS adalah Pas Sementara Sabah yang merupakan asas kaedah penyelesaian terhadap isu warga PTI yang kebanyakannya telah menjadi OTW (Orang Tanpa Warganegara) yang telah membelenggu Sabah sekian lama.
PSS boleh diumpamakan sebagai kad pengenalan diri WARGA SEMENTARA SABAH KELAS KETIGA, yang jelas tidak mempunyai hak mengundi bagi menentukan kerajaan jauh sekali menjadi calon wakil rakyat, tiada hak bekerja di sektor Kerajaan, dan tiada hak memiliki tanah dan sebagainya yang dinikmati oleh warganegara dan penduduk asal Sabah. Sebaliknya mereka hanya boleh bebas bergerak di Sabah dan bekerja sebagai PEMBANTU atau KULI yang sah tetapi tertakluk kepada undang-undang negara. Kad PSS juga dijangka akan menamatkan sindiket-sindiket peras ugut PTI oleh segelintir penguatkuasaan, syarikat dan orang persendirian yang mungkin melibatkan kes pemerdagangan manusia. Kejayaan menyelesaikan isu PTI di Sabah akan menjadi titik permulaan kepada kemajuan ketamadunan Sabah dalam mengurus manusia dan memenuhi tuntutan hak asasi manusia. – Oleh: Profesor Ir Dr. Rosalam Sarbatly, Pengerusi Panel Penasihat Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah / Pensyarah UMS.