Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Argentina wajar teliti pemain

0

LUSAIL: Bekas pertahanan Manchester United, Paul Parker menggesa pengendali Argentina, Lionel Scaloni supaya menyenaraikan Lisandro Martinez dalam kesebelasan utama menentang Belanda, esok.

Parker percaya gandingan Martinez dan Christian Romero sebagai bek tengah akan memberikan Argentina peluang le­bih besar meraih kemenangan dalam aksi suku akhir itu.

Dia juga tanpa berselindung mengkritik Otamendi yang sentiasa menjadi sasaran pihak lawan dan gagal beraksi dengan baik biarpun diturunkan beraksi dalam semua perlawanan Argentina.

“Kemasukan Martinez ketika menentang Australia (pusi­ngan 16) telah mengubah segala-galanya dalam perlawanan. Dia tak takut untuk melakukan terjahan dan memenangi bola.

“Dia perlu bergandingan de­ngan Romero. Saya tak percaya bagaimana Argentina lebih memilih Otamendi daripada Martinez. Bagi saya Otamendi ha­nyalah badut di atas padang.

“Otamendi sentiasa melakukan kesilapan ketika di Manchester City dan kali ini dia me­ngulanginya perkara sama buat negaranya. Argentina ada peluang kalau dia tidak diturunkan,” jelas Parker.

Martinez tidak menjadi pilihan utama Scaloni yang lebih gemar menggunakan Otamendi dan Romero dalam kesebelasan utamanya pada kempen Piala Dunia 2022.

Bagaimanapun, bintang The Red Devils itu membuktikan kualitinya apabila dimasukkan pada minit ke-50 ketika menewaskan Australia 2-1 dalam pusingan 16 baru-baru ini.

Berdasarkan prestasi cemerlang itu, Martinez berkemungkinan besar berpeluang disenaraikan dalam kesebelasan utama dalam aksi suku akhir menentang Belanda, namun segalanya bergantung kepada keputusan Scaloni.

Kehadirannya di benteng Argentina dilihat mampu menyekat kemaraan pemain sayap lincah Belanda, Cody Gakpo yang setakat ini sudah berjaya mengucar-kacirkan benteng pertahanan lawan dan mencipta banyak peluang buat Oranje. – AGENSI

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.