MASALAH ketiadaan air bersih yang dialami oleh penduduk Kampung Sondukut sejak sebelum merdeka bakal berakhir, selepas Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Arthur Joseph Kurup memberi lampu hijau untuk memberi perhatian mengenai kemelut itu.
“Saya akan ambil perhatian mengenai masalah ini .. saya akan hantar pegawai untuk cheak (pereksa) keadaan di sana (Sondukut),” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan kemanusiaan Covid 19 di Sook pada Sabtu.
Kampung Sondukut yang melibatkan Sondukut Kampung dan Sondukut Baru wujud sejak awal tahun 1970an yang didiami oleh penduduk yang sebahagian besarnya pekebun.
Ratusan penduduk di kampung itu menghadapi masalah untuk mendapatkan bekalan air bersih dan terpaksa bersandarkan hujan atau perigi buatan yang tahap kebersihan diragui untuk pelbagai kegunaan.
Ketika musim kemarau penduduk di kampung itu berbelanja besar untuk mencatu air berbayar daripada pekan Keningau untuk memastikan keterusan hidup, dan ia tidak sepatutnya berlaku ketika negara telah lama mencapai kemerdekaan.
Akses air bersih yang terdekat ialah Kampung Suan daripada punca air Agudon, dan Kampung Barasanon daripada Sook yang berbaki lapan kilometer tidak dibekalkan dengan saluran utama.
Sebatang sungai yang aktif di kampung itu yang dikenali sebagai ‘Suan’ tidak boleh digunakan sejak sekian lama ekoran menjadi pembuangan air kumbahan serta kotoran daripada Pusat Pelupusan Sampah Keningau yang terletak di ulu sungai itu.
Jaminan yang diberikan oleh Arthur yang merupakan Wakil Rakyat Parlimen Pensiangan pada Sabtu disambut baik oleh ratusan penduduk di situ.
“Ia sesuatu yang mengembirakan dan kami sangat mengharapkan supaya Arthur menunaikan jaminannya dengan kadar segera,” Jelas rata-rata penduduk di kampung itu.