Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

AS serang Iran, apa yang perlu kita tahu

0

 

Foto fail menunjukkan Presiden AS Donald Trump dan pemimpin Iran, Ayatollah Ali Khamenei. – AFP

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Sabtu memulakan ‘operasi pertempuran besar’ di Iran.

Trump sebelum ini menghantar kapal perang dan berpuluh-puluh pesawat pejuang ke Asia Barat dan mempunyai beberapa pilihan yang boleh menjejaskan kestabilan rantau itu.

Adakah Trump akan mengarahkan serangan menyasarkan Kor Pengawal Revolusi Islam Iran, cuba menghapuskan program peluru berpandu negara itu – seperti yang Israel mahu dia lakukan – atau cuba memaksa perubahan rejim di Tehran?

Namun, apa yang pasti, Iran mengancam untuk membalas dendam jika diserang.

Trump sebelum ini berkata, beliau akan memutuskan dalam masa 10 atau 15 hari sama ada untuk mengarahkan serangan ke atas Iran jika tiada perjanjian nuklear dicapai.

Portal berita Axios melaporkan bahawa Presiden AS itu dibentangkan pelbagai pilihan ketenteraan, termasuk serangan langsung ke atas pemimpin tertinggi Iran, Ali Khamenei.

Trump berkali-kali mengatakan beliau lebih suka laluan diplomatik yang membawa kepada perjanjian yang bukan sahaja menangani program nuklear Iran, tetapi juga keupayaan peluru berpandu balistiknya dan sokongan terhadap kumpulan militan seperti Hizbullah dan Hamas.

AS dan Iran baru-baru ini mengadakan dua pusingan rundingan tidak langsung, masing-masing di Oman dan Switzerland. Rundingan disambung semula pada Khamis lalu di Switzerland.

Trump terkejut kerana Iran tidak menyerah memandangkan peningkatan besar-besaran ketenteraan AS, kata utusannya, Steve Witkoff.

“Pentadbiran Trump kemungkinan besar menyasarkan konflik terhad yang membentuk semula keseimbangan kuasa tanpa memerangkapnya dalam keadaan kucar-kacir,” kata Alex Vatanka, penganalisis di Institut Asia Barat di Washington.

Vatanka berkata, Iran kini menjangkakan kempen ketenteraan berimpak tinggi yang pendek yang akan melumpuhkan infrastruktur peluru berpandunya, melemahkan pencegahannya dan menetapkan semula keseimbangan kuasa selepas perang 12 hari dengan Israel pada Jun 2025.”

Trump menegaskan pasukan AS sudah memusnahkan program nuklear Iran dalam serangan sebelum ini yang menyasarkan kemudahan pengayaan uranium.

Namun, keadaan berubah dengan gerakan protes Januari di Iran yang ditumpaskan oleh pasukan keselamatan.

Trump beberapa kali mengancam untuk campur tangan bagi ‘membantu’ rakyat Iran, tetapi tidak bertindak.

Dia sering bermegah kerana membawa keamanan ke Asia Barat, memetik gencatan senjata direkanya di Gaza di antara Hamas dan Israel. Perubahan rejim di Iran akan mengukuhkan apa yang beliau sebut sebagai dinamik ke arah keamanan di rantau itu.

Namun, pembangkang Demokrat bimbang Trump membawa AS ke dalam kekacauan ganas dan menuntut presiden berunding dengan Kongres, satu-satunya badan di negara itu yang mempunyai kuasa untuk mengisytiharkan perang.

Tentera AS kini mempunyai 13 kapal perang yang ditempatkan di Asia Barat meliputi kapal pengangkut pesawat USS Abraham Lincoln, yang tiba lewat bulan lalu, sembilan kapal pemusnah dan tiga kapal frigat.

Lebih banyak kapal perang sedang dalam perjalanan termasuk kapal pengangkut pesawat terbesar di dunia, USS Gerald Ford.

Selain banyak pesawat yang diletakkan di kapal pengangkut pesawat, AS menghantar pasukan yang kuat yang terdiri daripada berpuluh-puluh pesawat perang ke Asia Barat dan puluhan ribu tenteranya ditempatkan di seluruh rantau berkenaan.

Bekas Presiden Majlis Hubungan Luar Negeri AS, Richard Haas, berkata. tidak jelas apakah kesan konflik dalam apa jua tempoh dan skala terhadap Kerajaan Iran.

“Ia boleh menguatkannya sama seperti melemahkannya dan mustahil untuk mengetahui apa yang akan menggantikan rejim ini jika ia jatuh,” tulis Haas baru-baru ini di Substack.

Setiausaha Negara, Marco Rubio memberitahu Senat pada lewat bulan lalu bahawa tiada siapa yang benar-benar tahu apa akan berlaku jika pemimpin agung Iran itu digulingkan.

Monarki Arab di Teluk yang mempunyai hubungan rapat dengan Iran memberi amaran kepada Trump supaya tidak campur tangan kerana bimbang mereka mungkin disasarkan dalam serangan balas dan berwaspada terhadap sebarang ketidakstabilan di rantau itu.

Mona Yacoubian, dari Pusat Pengajian Strategik dan Antarabangsa, baru-baru ini memberitahu AFP bahawa isu Iran jauh lebih kompleks daripada Venezuela, yang diserang AS pada 3 Januari lalu ketika ia menawan pemimpinnya, Nicolas Maduro.

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.