Oleh EKOK AMIN dan FIDELIS BOYOGO
PENGERUSI gabungan kelab-kelab belia daerah Kota Belud Azuwan Bin Marjan @ Norjan berkata, belia merupakan asas sebenar atau tulang belakang kepada keutuhan dan kekuatan sesuatu bangsa dan negara.
Jesteru katanya, usaha-usaha hendaklah terus ditumpukan kepada peningkatan keupayaan dan kecekapan golongan ini.
“Ini amat perlu memandangkan cabaran masa hadapan yang akan ditempuh oleh para belia adalah lebih hebat dan canggih yang memerlukan satu persiapan atau persediaan diri yang hebat,”.
“Negara kita sudah pasti akan terdedah kepada pelbagai pengaruh dan tekanan dari dalam dan luar yang boleh menentukan maju mundurnya proses pembangunan dan kemajuan negara,” katanya ketika berucap merasmikan Kejohanan Bolasepak MSS Zon Timur Bawah 12 Tahun 2022.
Azuwan berkata, belia perlu bersaing untuk menimba ilmu kerana tanpa nilai itu golongan belia tidak dapat beraksi lebih jauh.
“Sebagai langkah pertama ke arah persediaan itu, sikap lama para belia harus ditukar atau disesuaikan mengikut keperluan zaman. Mereka tidak boleh lagi bergantung semata- mata kepada orang lain seperti Kerajaan untuk mendapatkan sesuatu,”.
“Belia harus mempunyai sikap berdikari dalam segala usaha mereka. Mereka harus mempunyai matlamat hidup yang jelas, cita-cita tinggi untuk maju, disiplin diri dan berani menghadapi perubahan ke arah kebaikan,” Tambahnya.
Azuwan yang merupakan Presiden Persatuan Bola Tampar Daerah Kota Belud mahu belia di daerah itu supaya mengikis sikap negatif, seperti takut menghadapi risiko, tidak toleran, kekurangan minat terhadap sesuatu yang boleh mendatangkan faedah, tidak suka bekerjasama dan mementingkan diri sendiri hendaklah dikikis.
Kejohanan yang berlangsung selama dua hari di Padang SK Piasau itu menyaksikan tuan rumah, SK Piasau dinobatkan sebagai juara, Naib Johan SK Tampasuk 1, Ketiga, SK Lasau Podi dan SK Sayap menyusuli di tempat terakhir.
Darryl Adrian Domenex dipilih sebagai pemain terbaik, Mohd Sharil Bin Suffian, penjaring terbanyak dan Mohd Hainul Aiman Bin Suffian dipilih sebagai penjaga gol terbaik.
Ketiga tiga pemain adalah dari SK Piasau.
11 pasukan menyertai kejohanan gilang gemilang itu.