KOTA KINABALU (Sabah, Malaysia) — Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah (MAFI) Datuk Junz Wong mengingatkan orang ramai terutama para petani agar tidak tertipu dengan projek penanaman Guarana di Sabah.
Setakat ini belum ada permohonan untuk membawa masuk tanaman Guarana ke Sabah, katanya.
“Pada ketika ini, Kementerian saya melalui Jabatan Pertanian tidak pernah meluluskan permohonan permit mengimport benih Guarana ke Sabah.” Junz memberitahu.
Oleh itu, sebarang penanaman Guarana di Sabah merupakan kemasukan benih secara haram, terang Junz.
Datuk Junz berkata demikian ketika mengulas tersebarnya “Borang Permohonan Menyertai Projek Penanaman Guarana” dengan kepala surat suatu “Persatuan Industri dan Asas Tani Sabah (PINTAS)”.
“Buat masa ini, guarana tidak termasuk dalam kategori tanaman yang dipromosi sebagai penjana ekonomi.”
“Mana-mana tanaman baharu yang akan diperkenalkan perlu melalui proses penyelidikan, pembangunan dan pengkomersilan (R&D&C).”
“Tanaman guarana adalah jenis tanaman baharu di negeri ini, dan belum dikenalpasti potensinya.” Junz menjelaskan.
Junz menegaskan bahawa Akta kuarantin 1976 dan Peraturan-Peraturan Kuarantin Tumbuhan 1981, kawasan komponen Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Sabah telah menetapkan prosedur untuk membawa masuk Guarana yang mana tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan dan wajib mendapat Import Permit Tumbuhan.
Brazil tersenarai sebagai high risk country yang mana negara ini adalah kawasan endemic Penyakit South American Leaf Blight yang disebabkan oleh fungi Microcyclus ulei.
Penyakit ini boleh menyebabkan kerosakan yang amat serius terhadap tanaman getah, maka proses membawa masuk Guarana dari Brazil perlu melalui proses yang telah ditetapkan sebelum dibawa masuk ke Malaysia.
“Saya ingin mengingatkan orang ramai sekiranya mempunyai keraguan dan memerlukan keterangan lanjut mengenai tanaman Guarana hendaklah merujuk terus kepada Jabatan Pertanian Sabah,” nasihat Junz.