EKSKLUSIF
SISTEM operasi piawaian (SOP) semasa tempoh pergerakan terhad bermula 18-31 Mac 2020 di Malaysia merupakan amat kritikal dan perlu diteliti secara menyeluruh dalam membendung penularan wabak COVID 19 yang sudah dikelaskan sebagai pandemik oleh pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bermula 11 Mac 2020. Polisi memutuskan rantaian jangkitan mesti diambil secara drastik dan tegas bagi mengelak lebih ramai mangsa akan dijangkiti. Pada masa sama, penilaian SOP ini perlu juga mempertimbangkan kepelbagaian segmen masyarakat dalam tempoh kuat kuasa undang-undang khususnya kepada mereka yang memerlukan bantuan seperti pelajar-pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan golongan miskin tegar bandar. Dalam tempoh pergerakan terhad, selain memastikan pergerakan dihadkan, sumber bekalan makanan adalah asas yang mesti dibantu.
Selain SOP kebersihan diri seperti mencuci tangan, menggunakan penutup hidung, dan menghadkan pergerakan, perkara amat penting perlu diterangkan dengan jelas adalah kaedah bagaimana mereka yang mungkin dijangkiti COVID19 bertindak. Mereka ini sepatutnya diberitahu untuk tidak terus datang ke klinik atau hospital. Sebaliknya hendaklah membuat panggilan telefon atau berhubung menerusi media elektronik terlebih dulu dengan pihak petugas khas untuk memahami panduan apa yang perlu dilakukan. Panggilan tersebut memberi ruang pihak klinik dan hospital bersedia dengan kehadiran mereka. SOP ini meskipun nampak remeh, namun kesannya jika tidak dilakukan boleh menyebabkan semua klinik-klinik dan hospital-hospital akan tercemar. Bagi memastikan urusan panggilan telefon berjalan lancar, peranan sukarelawan yang berpengetahuan dalam mengurus COVID19 amat diperlukan.I
Di kampung-kampung terpencil yang tidak menunjukkan pergerakan keluar masuk penduduk rentas sempadan, mereka sepatutnya boleh meneruskan kehidupan harian seperti biasa. Apa yang penting, tidak berlaku penghijrahan rentas sempadan dari kawasan terjejas COVID19. Namun, jika berlaku rentas sempadan, setiap individu yang terlibat mesti meningkatkan disiplin diri dengan melakukan pengasingan diri dengan berada terus di dalam rumah agar orang lain tak terjejas. Namun, perhimpunan besar-besaran perlu dihentikan misalnya kenduri kahwin.
Bagi kawasan bandar dan separa bandar, memandangkan penghuninya sentiasa bergerak rentas sempadan, semasa tempoh larangan pergerakan terhad dan berhimpun dikuatkuasakan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967, masyarakat mesti mengelak untuk balik kampung dan mengekalkan disiplin mengurangkan pergerakan harian seperti diberitahu.
Namun cabaran getir menghadkan pergerakan adalah kepada golongan kais pagi makan pagi yang terpaksa mencari rezeki secara harian dan pelajar IPT khususnya kumpulan B40. Oleh itu peranan kerajaan dan NGO dan sukarelawan amat penting khususnya bagi membantu mereka mendapatkan bekalan makanan.Isu ini mesti ditangani segera, sedangkan isu perniagaan terjejas bukan isu mendesak yang boleh difikirkan setelah wabak ditangani. Bagaimanapun, segala bantuan yang ingin dihulurkan mesti tidak menyebabkan asas menghadkan pergerakan dan perhimpunan beramai-ramai tidak berlaku. Penutupan asrama IPTA baru-baru adalah contoh yang telah menyebabkan ramai dikalangan pelajar berpusu-pusu balik ke kampung dan memenuhi lapangan terbang dan stesen-stesen bas. Arahan tersebut jelas telah menyebabkan arahan menghadkan pergerakan oleh pihak kerajaan terjejas.
Salah satu kaedah yang boleh membantu meringankan bebanan mereka yang memerlukan adalah menerusi semangat kejiranan yang tinggi. Salah satu yang boleh dilakukan khususnya bagi mereka yang mempunyai kelebihan, masaklah lebih sikit setiap hari dan berikan sebahagiannya kepada jiran anda yang memerlukan.
Virus CONVID19 atau Penyakit Coronavirus 2019 ini merupakan virus yang boleh berjangkit begitu pantas pada kadar 1 kepada 3 jika tidak disekat atau diputuskan rantaiannya dan mampu membunuh manusia pada kadar 3% bagi setiap mangsa yang dijangkiti. Bermula pada Disember 2019 apabila virus ini mula dikenal pasti di Wuhan, Cina, sehingga hari ini ia telah membunuh sekitar 7,000 orang mangsa. Tiada vaksin setakat ini ditemui dan para saintis di seluruh dunia sedang berusaha membangun vaksin yang mampu melawannya.