Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Budaya lalai punca Covid-19 meningkat

0
PROF Ir DR. ROSALAM SARBATLY

PENULARAN virus covid19 merupakan satu-satunya penyakit yang menguji kematangan budaya masyarakat hari ini. Kelalaian dan sikap masyarakat dan sambil lewa penguatkuasaan undang-undang boleh mengancam keselamatan seluruh masyarakat.

Di pihak kerajaan terdapat tiga strategi utama kawalan penularan covid19 yang sedang diusahakan; proklamasi darurat bagi mengelak kemungkinan pilihanraya yang boleh menjadi penyebab penularan covid19, penguatkuasaan akta 342 pencegahan dan kawalan penyakit berjangkit dan memberi suntikan vaksin kepada masyarakat.

Di pihak orang ramai, pematuhan kepada SOP dan menjaga kebersihan diri perlu menjadi amalan. Sikap masyarakat dalam melawan penularan covid19 mesti berubah bukan kerana takut dengan penguatkuasaan undang-undang tetapi sebagai amalan norma baharu bagi memastikan diri terhindar daripada jangkitan penyakit. Perubahan ini perlu bermula pada diri sendiri. Tanggungjawap menegur terletak pada ketua keluarga untuk bersama menererapkan nilai-nilai norma baharu kepada keluarga dan sanak saudara.

Perkara 150 proklamasi darurat merupakan kuasa khas bagi menentang perbuatan subversif, keganasan terancang, dan perbuatan dan jenayah yang memudaratkan orang awam. Proklamasi darurat telah diumumkan pada 12 Jan 2021 dan dijangka berakhir pada Oktober 2021 bertujuan untuk membendung penularan pandemik covid19 dengan menghalang proses demokrasi yang memerlukan proses pilihanraya diadakan atau perubahan kepimpinan kerajaan sekiranya Perdana Menteri kehilangan sokongan majoriti perwakilan dewan rakyat.

Secara induktif, Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri merasakan, sekiranya kerajaan kehilangan sokongan majoriti, pilihan raya umum akan diadakan dan ini boleh menjadi punca berlakunya penularan virus covid19. Bagi mengelak proses demokrasi khususnya pilihanraya umum, proklamasi darurat telah diumumkan bagi menutup kemungkinan pilihanraya dalam tempoh terdekat memandangkan pilihanraya boleh menyebabkan penularan covid19 dikalangan masyarakat yang mengancam keselamatan rakyat.

Proklamasi darurat akan digunakan apabila suatu darurat besar sedang berlaku yang menyebabkan keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya terancam, maka Yang di-Pertuan Agong boleh mengeluarkan suatu Proklamasi Darurat dengan membuat dalamnya suatu perisytiharan yang bermaksud sedemikian.

Pihak kerajaan juga mempunyai kuasa di bawah akta 342 pencegahan dan pengawalan penyakit berjangkit 1998 bagi membendung penularan. Bagaimanapun penguatkuasaan yang longgar dan tindakan penguatkuasaan dikatakan secara berpilih, kepercayaan masyarakat yang rata-rata takut dengan penguatkuasaan tegas undang-undang terjejas. Kes penularan covit19 telah meningkat bermula selepas pilihanraya negeri Sabah pada 26 September 2020 yang berpunca apabila pembawa wabak covid19 telah berkempen tanpa mematuhi SOP pencegahan dan pengawalan penyakit dan tidak diambil tindakan oleh pihak berkuasa. Sabah sebelumnya adalah negeri yang mempunyai kes covid19 terendah.

Vaksin merupakan satu lagi langkah mengelak penularan covid19 yang diusahakan oleh pihak kerajaan dengan peruntukan dilaporkan sebanyak RM2.05 bilion. Budaya masyarakat akan menjadi penentu apakah pemberian vaksin akan berlaku secara sistematik dan teratur kepada sekitar 32 juta penduduk Malaysia. Atau kes covid19 akan mengulangi kegagalan pelaksanaan akta pencegahan dan pengawalan penyakit selepas sahaja kawalan pergerakan pertama dibuka. Peningkatan kes covid19 memuncak meskipun Malaysia pada awalnya berada jauh lebih baik berbanding negara-negara asian seperti Singapura, Filipina, Indonesia dan Thailand. — Oleh: Prof Ir Dr. Rosalam Sarbatly, University Malaysia Sabah.

 

 204 total views,  1 views today

Leave A Reply

Your email address will not be published.