Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Ehsan@KUSKOP: Inisiatif Kerajaan Madani basmi kemiskinan tiga daerah dikenalpasti  di Sabah

0

KUALA LUMPUR: Program Ehsan@KUSKOP akan dilaksanakan sebagai Langkah bersasar dan bersepadu untuk membasmi kemiskinan di tiga daerah yang telah dikenalpasti di Sabah.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, program itu menjadi focus Kerajaan madani di bawah kementeriannya.

Ewon memberitahu, projek rintis akan dilaksanakan di kawasan utara Parlimen Sabah iaitu di Kota Belud, Kota Marudu dan Kudat, yang merekodkan insiden kemiskinan tegar tertinggi berdasarkan daftar eKasih.

Beliau berkata, inisiatif itu selaras dengan agenda menokhtahkan kemiskinan tegar yang menjadi keutamaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam usaha menangani insiden kemiskinan tegar di negara ini.

“Selaras dengan agenda menokhtahkan kemiskinan tegar dan amanat Perdana Menteri dalam memberi tumpuan besar ke atas agenda menangani insiden kemiskinan tegar, pada tahun ini, KUSKOP sedang melaksanakan Dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara.

“Dasar ini memberi fokus tambahan kepada keperluan tambahan di Sabah dan Sarawak khususnya dalam menangani insiden kemiskinan.

“Justeru, pada tahun ini, KUSKOP dengan kerjasama Yayasan Bank Rakyat (YBR) yang menerima dana daripada Bank Rakyat, melaksanakan program Ehsan@KUSKOP,” katanya, di Dewan Negara, hari ini.

Ewon berkata, program itu adalah satu inisiatif secara bersasar dan bersepadu dalam membantu membasmi kemiskinan di Sabah melalui pelbagai komponen antaranya keusahawanan dan peluang pendidikan.

“Bagi fasa pertama, Kementerian melalui YBR sedang menyelaras penyaluran bantuan Program Pembangunan Pendidikan kepada Ahli Isi Rumah (AIR) eKasih kategori Miskin Tegar dan Miskin di tiga kawasan itu,” katanya.

Beliau berkata, bagi memastikan bantuan disalurkan secara efektif dan menyeluruh, pelaksanaan program itu akan dijalankan dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Pejabat Pendidikan Daerah di kawasan berkenaan.

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.