Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Elon Musk pertahan gelaran CEO terkaya dunia buat tahun keempat

0

WASHINGTON: Hartawan Elon Musk disenaraikan sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) dengan gaji paling tinggi apabila memperoleh lebih AS$10 bilion (RM44.76 bilion) pada tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Tesla itu mendahului senarai tersebut bagi empat tahun berturut-turut.

Memetik laporan Daily Mail, sebahagian besar bayaran gajinya terdiri dari pelbagai saham, berserta AS$78 bilion (RM349.1 bilion) yang merupakan kekayaan peribadinya, menjadikan nilai kekayaannya dipercayai berjumlah sekitar AS$269 bilion (RM1.20 trilion).

Bayaran gaji Musk adalah sangat besar berbanding 13 ketua pegawai eksekutif lain dalam senarai dikeluarkan oleh Bloomberg, berikutan pendapatan Musk berjumlah AS$6.3 bilion (RM28.2 bilion) atau lebih separuh berbanding jumlah diraih.

Ketua Pegawai Eksekutif Rivian Automotive, Robert Scaringe menduduki tempat kedua dengan memperoleh gaji sebanyak AS$2.3 bilion (RM10.29 bilion) pada tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Tim Cook pula berada di tempat ketiga dengan bayaran gaji sebanyak AS$853 juta (RM3.81 bilion) pada 2021.

Ketua Pegawai Eksekutif CTO Lucid Motors, Peter Rawlinson meraih tempat keempat dengan bayaran gaji sebanyak AS$575 juta (RM2.57 bilion) tahun lalu.

Pakej gaji mencecah sembilan angka jarang berlaku namun ketika ini ia kelihatan semakin meningkat.

Pakej itu biasanya terdiri daripada gaji, bonus, anugerah saham, anugerah pilihan saham, pampasan tertunda dan elemen lain termasuk manfaat.

Bagi beberapa syarikat, kenaikan besar boleh berlaku apabila ketua pegawai eksekutif mendapat geran saham dalam setahun sebagai sebahagian geran berbilang tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif syarikat perisian C3.ai, Tom Siebel memperoleh tempat kelima dengan bayaran gaji AS$343 juta (RM1.53 bilion).

Sue Nabi iaitu ketua pegawai eksekutif Coty, sebuah syarikat kecantikan global, disenaraikan pada kedudukan keenam selepas menerima bayaran gaji sebanyak AS$283 juta (RM1.26 bilion).

“Beliau merupakan bakat pengasas terkemuka industri kecantikan dan ahli perniagaan yang sangat dihormati dengan rekod prestasi cemerlang.

“Dalam usaha menarik usahawan sejati seperti beliau, Coty perlu mempunyai skim ekuiti memberangsangkan,” jelas syarikat itu dalam kenyataan.

Ketua Pegawai Eksekutif ekuiti persendirian KKR, Joe Bae meraih tempat ketujuh dengan mendapat AS$279 (RM1.24 bilion) pada 2021.

Tomer Weingarten, ketua pegawai eksekutif firma SentinelOne, memperoleh AS$275 juta (RM1.23 bilion) sekaligus meletakkan beliau di kedudukan kelapan dalam senarai tersebut.

Pada tempat kesembilan, Ketua Pegawai Eksekutif Palantir Technologies, Alex Karp memperoleh pendapatan tahunan sebanyak AS$264 juta (RM1.18 bilion).

Ketua Pegawai Eksekutif syarikat perisian GitLab, Sid Sijbrandij melengkapkan senarai 10 teratas dengan pendapatan AS$263 juta (RM1.17 bilion).

Senarai 10 ketua pegawai eksekutif teratas menyaksikan jumlah pembayaran gaji lebih AS$15 bilion (RM67.14 bilion).

Menurut Indeks Bloomberg Pay, lebih 30 eksekutif syarikat awam memperoleh tawaran gaji melebihi AS$100 juta (RM447.6 juta).

Lazimnya, ketua pegawai eksekutif merupakan pekerja yang dibayar gaji tertinggi dalam mana-mana perniagaan.

Malah, kadang kala golongan itu memperoleh lebih 1,000 kali ganda berbanding purata pendapatan pekerja biasa.

 

 446 total views,  1 views today

Leave A Reply

Your email address will not be published.