Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Ewon lancarkan Konvoi Jiwa Merdeka KUSKOP

0

PUTRAJAYA: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick melancarkan Program Konvoi Jiwa Merdeka KUSKOP sempena sambutan Bulan Kebangsaan 2024, di Lobi kementerian, di sini, Rabu.

Beliau berkata, ini adalah antara pengisian Bulan Kebangsaan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bagi menyemarakkan lagi semangat patriotik di kalangan warga kementerian dan agensi-agensinya.

“Warga KUSKOP adalah antara rakyat Malaysia yang amat bertuah kerana mendapat tempat dalam perkidmatan awam. Penempatan dalam kementerian ini harus ada nilainya iaitu memastikan Malaysia terus merdeka, maju ke hadapan dan terus membangun.

“Oleh itu saya menyeru seluruh warga kementerian dan agensi-agensi di bawah kementerian ini yang dipertanggungjawabkan dalam pembangunan usahawan dan koperasi supaya terus melipatgandakan usaha memberikan perkhidmatan terbaik membela nasib usahawan-usahawan mikro, kecil dan sederhana, penjaja dan peniaga kecil serta koperasi agar mereka terus maju bersama, seiring pembangunan negara ini.

“Komuniti penjaja dan peniaga kecil, usahawan dan koperasi perlu dibantu agar mereka juga dapat membantu membangunkan negara ini dalam bidang keusahawanan,” katanya ketika berucap melancarkan Konvoi Jiwa Merdeka KUSKOP, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Dato’ Ramanan Ramakrishnan, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan) KUSKOP Datuk Haji Zamri Salleh, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pemantauan) Noor Afifah Abdul Razak, ketua-ketua dan wakil-wakil agensi KUSKOP.

Ewon berkata, bagi penjawat awam, antara pengisian kemerdekaan adalah memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat yang memerlukan pembelaan.

“Sebagai warganegara, kita seharusnya bersyukur dan bertuah kerana menjadi sebahagian daripada rakyat Malaysia yang berdaulat dan merdeka sehingga kita dapat menjalani kehidupan harian dalam suasana yang aman damai dan harmoni,” katanya.

Mengimbas sejarah Malaysia, Ewon berkata, negeri-negeri di Semenanjung Malaysia (Tanah Melayu) mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, kemudiannya pada tahun 1963, Sabah dan Sarawak mendapat pentadbiran beberapa minggu lebih awal sebelum menubuhkan Malaysia.

“Negara ini ditubuhkan melalui satu perjanjian iaitu Perjanjian Malaysia dan sehingga hari ini keluarga Malaysia dan persekutuan Malaysia harus terus dibangunkan dan dipertahankan dengan baik oleh seluruh rakyat negara ini,” katanya.

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.