Oleh Mohd Khairy Abdullah @ DG Henry
PENAMPANG (Sabah), 19 Oktober 2025 – Lanskap politik Malaysia memasuki dimensi baharu apabila Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick, menyatakan kesediaannya untuk berundur daripada Kabinet Persekutuan sekiranya Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang mengiktiraf hak Sabah menerima 40 peratus hasil bersih Persekutuan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Ketegasan itu diumumkan dalam ucapan penggulungan beliau pada Konvensyen UPKO Bahagian Penampang, selepas perwakilan sebulat suara meluluskan resolusi mendesak Ewon berpegang teguh kepada pendirian parti bagi mempertahankan hak perlembagaan Sabah.
Menurut Ewon, keputusan Mahkamah Tinggi pada 17 Oktober lalu merupakan pengesahan berdaulat terhadap asas penubuhan Malaysia.
“Ini soal prinsip dan maruah negeri. Sekiranya AGC meneruskan rayuan dalam tempoh 30 hari, saya akan mengundurkan diri daripada Jemaah Menteri sebagai tanda mempertahankan hak Sabah yang telah disahkan oleh Mahkamah,” tegas beliau.
Ewon, yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, menegaskan bahawa hak 40 peratus bukanlah tuntutan baharu atau desakan politik semasa, sebaliknya hak perlembagaan yang dijamin sejak penyertaan Sabah dalam Persekutuan Malaysia melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Konvensyen tersebut turut merakamkan penghargaan kepada Sabah Law Society (SLS) atas kejayaan membuka kembali ruang litigasi yang membawa kepada keputusan penting Mahkamah Tinggi itu, serta mendesak Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah memuktamadkan mekanisme pelaksanaan dalam tempoh 180 hari sebagaimana diarahkan mahkamah.
Ewon menegaskan bahawa beliau akan membawa resolusi tersebut ke mesyuarat Kabinet minggu hadapan bagi direkodkan sebagai pendirian rasmi UPKO dalam Kerajaan Perpaduan.
“Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri serta rakan-rakan Kabinet telah dimaklumkan secara awal melalui perbincangan dalaman. Minggu ini, saya akan memastikan pendirian UPKO direkodkan secara rasmi,” katanya.
Beliau menekankan bahawa keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu telah mengiktiraf hak 40 peratus sebagai hak perlembagaan yang tidak boleh disangkal oleh mana-mana pihak termasuk Kerajaan Persekutuan sendiri.
“Sekiranya keputusan Mahkamah ini dicabar melalui rayuan, ia bukan sahaja mencabar kedudukan Sabah dalam Persekutuan, tetapi akan membawa implikasi besar terhadap integriti politik negara. Saya tidak akan bersama mana-mana keputusan yang menafikan hak ini,” tegasnya.
Ewon menutup ucapannya dengan menyatakan kesediaan melepaskan jawatan demi mempertahankan prinsip:
“Saya bersedia berundur daripada Kabinet demi menghormati Perlembagaan Persekutuan, mempertahankan semangat penubuhan Malaysia, dan memastikan hak Sabah tidak lagi menjadi bahan tawar-menawar politik. Ini adalah perjuangan harga diri negeri.” Tegasnya.
![]()