SEBELUM penglibatan saya dalam bidang politik pada tahun 2017, saya telah meneliti dan menganalisa ramai sosok pemimpin tempatan untuk dijadikan teladan dalam kepimpinan politik. Di wilayah Sabah, terdapat pelbagai gaya kepimpinan, baik dalam pentadbiran kerajaan, agenda politik, mahupun aktiviti di akar umbi.
Namun, seseorang pemimpin hanya akan dikenali apabila mereka memilih untuk menonjolkan diri. Kadangkala, terdapat pemimpin yang ingin mempamerkan kehebatan dan kemampuan diri mereka melalui cara yang tidak sesuai dengan kedudukan mereka sebagai seorang ahli parlimen yang matang. Sebagai ilustrasi, ada segenlintir pemimpin yang menggunakan platform Dewan Undangan Negeri atau Dewan Rakyat untuk menunjukkan reaksi dan tingkah laku yang tidak sepatutnya.
Sepanjang perjalanan saya dalam mengenal pasti dan mempelajari ciri-ciri pemimpin yang baik dalam kalangan parti-parti tempatan, saya tertarik dengan gaya kepimpinan dan semangat perjuangan oleh salah satu parti tempatan iaitu United Progressive Kinabalu Organisation (UPKO). UPKO berjaya menarik perhatian saya kerana organisasi ini memaparkan gaya kepimpinan dan semangat berjuangan yang mengagumkan. Bagi saya, UPKO boleh disimpulkan dengan tiga perkataan: *PEJUANG, KONSISTEN, dan BERKEPIMPINAN*. Walaupun pada masa itu saya tidak memiliki pengalaman yang banyak dalam politik, saya berpeluang untuk menyaksikan kepimpinan YB Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, yang bukan sahaja membuka jalan malah memberi inspirasi untuk anak muda seperti saya untuk memperjuangkan misi demi kebaikan rakyat terutamanya di wilayah Sabah.
Sepanjang perjalanan dalam arena politik, saya juga berkesempatan untuk berkenalan dengan salah seorang pemimpin yang sangat berteladan iaitu YB Datuk Ewon Benedick. Beliau merupakan antara pemimpin tempatan yang telah banyak memberi sokongan kepada saya. Saya mengenali beliau secara dekat sejak tahun 2019, sebelum beliau menjadi ADUN Kedamaian dan Menteri di Kementerian Luar Bandar & Wilayah Sabah. Secara peribadi, saya melihat beliau sebagai seorang yang lemah lembut dalam tutur katanya namun tegas dan berdedikasi. Berikut merupakan beberapa aspek keperibadian dan gaya kepimpinan beliau yang saya sangat kagumi dan boleh dijadikan teladan kepada kita semua:
- Mementingkan Pencapaian untuk Kebaikan Rakyat: Sentiasa fokus kepada hasil yang memanfaatkan rakyat.
- Bertanggungjawab dalam Perkhidmatan Akar Umbi: Berusaha memastikan perkhidmatan mencapai seluruh lapisan masyarakat.
- Pengurusan Kementerian dan Kawasan yang Cekap: Berfikir secara strategik dalam pentadbiran dan pengurusan, termasuk dalam kepimpinan parti.
- Mendorong Penglibatan Muda-Mudi dan Wanita: Menggalakkan penglibatan golongan muda dan wanita dalam aktiviti kebudayaan, keusahawanan, dan kepimpinan.
- Memberi Ruang dan Peluang kepada Pemimpin Muda-Mudi dan Veteran: Berusaha membangunkan ekonomi, menyuburkan politik matang, dan meningkatkan aktiviti sosial.
- Memastikan Kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan: Bekerja keras untuk menjamin kerjasama yang baik antara kerajaan Sabah dan Persekutuan.
- Komitmen terhadap Perkhidmatan Berterusan: Sentiasa bersedia dan komited dalam menjalankan tanggungjawab dengan mandat yang diberikan oleh rakyat Sabah.
- Memupuk Kerjasama antara Kementerian dan Wakil Rakyat: Mewujudkan hubungan kerja yang kukuh demi kebaikan rakyat.
- Perancangan yang Berfokus kepada Rakyat: Setiap perancangan dan aktiviti adalah untuk manfaat rakyat.
- Memahami Keperluan Rakyat: Peka terhadap keperluan dan kehendak rakyat di kawasan.
Bagi saya, keperibadian dan kepimpinan Ewon menjadi contoh yang baik dalam politik tempatan dan nasional, dan saya berharap agar lebih ramai pemimpin dapat mengikuti jejak langkah beliau. – Dr Peter Jr Naintin, Ketua Bahagian UPKO Libaran