PENAMPANG: Kerajaan Sabah dan Persekutuan perlu meneruskan rundingan bagi menetapkan kadar pemberian khas dan muktamadkan pembayaran hasil 40 peratus kepada Sabahseperti dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick menegaskan, isu berkenaan penting sejajar Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, rundingan dengan Kerajaan Persekutuan perlu diteruskan, sama ada untuk menetapkan kadar pemberian khas atau memuktamadkan isu pembayaran hasil 40 peratus kepada Sabah.
“Saya menghargai usaha kerajaan negeri yang sudah mengemukakan tuntutan kepada Kerajaan Persekutuan baru-baru ini.
“Langkah ini amat positif ke arah usaha penyelesaian isu yang sudah berlanjutan sejak sekian lama,” katanya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UPKO, di sini, Ahad.
Kelmarin, Peguam Besar Sabah, Datuk Brenndon Keith Soh menyatakan kerajaan negeri sudah menjalankan tugas secara profesional dan berdedikasi dalam usaha menuntut pemberian khas 40 peratus itu.
Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, UPKO mengalu-alukan kenyataan Peguam Besar Sabah itu berkaitan perkembangan tuntutan kepada Kerajaan Persekutuan, komitmen Kerajaan Perpaduan dan kesediaan kerajaan negeri untuk terus mengadakan rundingan berkaitan perkara itu.
“Saya akan memainkan peranan bagi membantu merealisasikan aspirasi rakyat Sabah dan Kerajaan Sabah menjayakan tuntutan ini melalui platform yang saya anggotai dalam Kabinet Persekutuan, Majlis Khas Tindakan Pelaksanaan MA63 dan Jawatankuasa Teknikal MA63,” katanya.
Isu tuntutan 40 peratus yang dirunding di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sepatutnya diselesaikan dalam tempoh setahun sejak Julai tahun lalu, namun setakat ini belum ada perkembangan baharu mengenai perkara itu.