Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Gajah ‘paling sedih di dunia’ mati selepas hidup sunyi lebih 40 tahun

0

MANILA: Seekor gajah yang digelar aktivis sebagai ‘paling sedih’ di dunia disahkan mati di zoo Filipina selepas menghabiskan lebih 40 tahun tinggal bersendirian di dalam kandang.

Ramai memberikan penghormatan kepada Mali, yang menjadi tarikan di Zoo Manila selama empat dekad dan sangat disayangi pengunjung.

Tetapi kesunyian yang menyelubungi satu-satunya gajah di negara itu menjadi kebimbangan yang sudah lama disuarakan aktivis hak haiwan.

Seorang daripada mereka ialah lagenda rock, Sir Paul McCartney, yang meminta pihak berkuasa memindahkan Mali ke tempat perlindungan gajah.

Kematian Mali pada hari Selasa diumumkan dalam video Facebook oleh Datuk Bandar Manila, Honey Lacuna, yang berkata lawatan ke zoo untuk melihat haiwan itu adalah antara kenangan paling menggembirakan ketika zaman kanak-kanaknya.

Ketua Doktor Haiwan, Dr. Heinrich Patrick Pena-Domingo Jumaat lalu berkata, gajah Asia itu dilihat sentiasa menggosok belalainya ke dinding yang menunjukkan dia dalam kesakitan.

“Menjelang awal Selasa, Mali berbaring di sisinya dan semakin sukar bernafas.

“Doktor haiwan memberikan antihistamin dan vitamin tetapi dia mati lewat petang itu,” katanya.

Pena-Domingo berkata, bedah siasat mendapati Mali menghidap kanser di beberapa organnya serta penyumbatan di aortanya.

Mali atau nama penuhnya Vishwa Ma’ali dihadiahkan kepada bekas wanita pertama Filipina, Imelda Marcos oleh kerajaan Sri Lanka pada tahun 1981, ketika berusia 11 bulan.

Zoo Manila juga menjadi rumah kepada seekor lagi gajah, Shiva yang tiba pada tahun 1977 namun mati pada 1990, menyebabkan Mali menjadi satu-satunya gajah di zoo berkenaan sejak itu.-AGENSI

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.