Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Gangguan air ibu negeri Sabah selesai 2023 – Bung

0

GANGGUAN bekalan air yang dialami penduduk ibu negeri, khususnya di Parlimen Sepanggar dijangka selesai sepenuhnya selepas pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Telibong Fasa Dua, di sini siap pada awal 2023.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata apabila siap, LRA yang memproses air Sungai Tuaran itu mampu membekalkan 160 juta liter air sehari (MLD), berbanding hanya 80 MLD ketika ini.

Bung (satu kanan) meninjau Loji Rawatan Air (LRA) Telibong di Tamparuli, Tuaran.

Katanya, tambahan 80 MLD itu mampu menyelesaikan masalah dialami penduduk Sepanggar khususnya di  Unversiti Apartment, Bandar Sierra, Taman Rimba Manggatal dan kawasan sekitarnya.

“Projek ini tertangguh berbanding jadual asal yang sepatutnya siap lebih awal. Pihak kontraktor sudah diberikan lanjutan masa untuk menyiapkannya dan kita berharap ia dapat disiapkan seawal 2023.

“Apabila siap nanti, kita percaya masalah air yang mengganggu kehidupan penduduk di sekitar Sepanggar dapat diselesaikan sepenuhnya,” katanya selepas meninjau perkembangan  projek LRA Telibong Fasa Dua bersama Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Edward Lingkapo, di Tuaran, lewat pada Ahad.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya negeri, berkata beliau sendiri akan memantau perkembangan projek itu setiap bulan bagi memastikan tiada lagi kelewatan berlaku selepas ini.

“Kita bukan mendesak kontraktor lebih-lebih lagi dalam situasi sekarang mereka juga perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan tetapi jangan jadikan ini sebagai alasan sehingga projek ini tidak menampakkan kemajuan,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai masalah air di Sepanggar ketika ini, Bung Moktar berkata kapasiti air yang dibekalkan LRA Telibong tidak mampu menampung keperluan air bersih yang  meningkat berikutan pertumbuhan pesat bandar raya.

Katanya, pelaksanaan projek pembangunan seperti pembinaan Lebuhraya Pan Borneo, selain kecurian air di kawasan Sepanggar memburukkan lagi keadaan.

Pada masa yang sama katanya, pencemaran air Sungai Tuaran yang ada ketikanya menjadi sangat keruh turut menyebabkan proses pengeluaran air bersih di LRA Telibong terganggu.

“Namun, masalah air keruh ini boleh diatasi kerana kita ada dua kolam takungan di Tamparuli untuk menyimpan air sebelum diproses.

“Apa yang perlu ketika ini ialah untuk mempercepatkan pembinaan LRA Telibong Fasa Dua supaya proses pengeluaran air bersih lebih lancar dan kapasitinya bertambah,” katanya.

Beliau berkata, penyediaan kolam takungan bagi mengatasi masalah pencemaran dan kekurangan air mentah itu juga akan diperluaskan ke daerah lain yang bermasalah seperti Beaufort, Sipitang dan Pitas.

Laporan sebelum ini mendedahkan sebahagian pengguna di sekitar Sepanggar berdepan masalah air, namun difahamkan masalah itu sukar diatasi selagi pembinaan LRA baharu di Tamparuli belum selesai. – Oleh: ABANG JOE

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.