SOOK (Sabah, Malaysia): Sentuhan Ahli Parlimen Pensiangan Tan Sri Joseph Kurup bagi menyelesaikan kemelut projek pembinaan Sekolah Menengah Kerajaan (SMK) Trus Madi dengan penduduk Kampung Mongorimot, mendapat pujian pemimpin gereja Anglikan Ikok Ahmad, yang menyifatkan kehadiran beliau sebagai pengaman menamatkan pertikaian yang berlanjutan berminggu-minggu itu.
“Peranan beliau (Tan Sri Kurup) untuk mengatur perjumpaan diantara penduduk dengan Kementerian Pendidikan, Jabatan Tanah dan Ukur menyatukan semua pihak yang terlibat dalam pertikaian ini,” katanya.
Kemelut projek pembinaan SMK Trus Madi tercetus berikutan pertikaian pemilikan tapak tanah yang didakwa penduduk sebagai milik gereja Anglikan.
“Sebenarnya ia cuma salah faham dan kini tapak itu milik Kementerian Pendidikan Malaysia,” jelas Ikok dalam satu kenyataan kepada Borneo Digest.
“Tan Sri Kurup telah memainkan peranannya untuk menjelaskan situasi yang sebenar,” tambahnya dan memberitahu bahawa wakil rakyat Parlimen Pensiangan itu seorang pemimpin yang berjiwa rakyat.
Kurup dalam ucapannya di Majlis Sogit dan Perdamaian Penduduk Kampung Mongorimot dengan pelaksana projek SMK Trus Madi berkata, pembinaan sekolah itu sangat penting kepada masa depan generasi penduduk itu di situ.
“Kerajaan Barisan Nasional (BN) sangat perihatin kepada setiap keperluan penduduk yang tinggal di kawasan luar bandar seperti Kampung Mongorimot … saya usahakan projek ini untuk masa depan anak-anak penduduk,” jelas Kurup.
Kampung Mongorimot terletak kira-kira 92 kilometer dari bandar Keningau dan mengungsi di pesisir lembah Gunung Trus Madi, yang boleh diakses melalui jalan raya aspal dengan pelbagai kenderaan darat.