Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

GRS hargai pendirian UMNO Sabah – Hajiji

0

DATUK Seri Hajiji Noor menghargai pendirian Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang menegaskan kekal konsisten dengan komitmen untuk terus bersama-sama dalam kerajaan Sabah pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Ketua Menteri Sabah itu yang juga Pengerusi GRS berkata, pendirian Pengerusi Badan Perhubungan UMNO yang menzahirkan komitmen padu kepada kepimpinan GRS untuk menjunjung mandat rakyat Sabah yang telah memilih kerajaan baharu di bawah gagasan gabungan itu sangat dihargai.

Hajiji berkata, perjuangan untuk bersama rakyat perlu diterjemahkan dengan semua pemimpin Sabah untuk fokus, bekerjasama dan terus bersatu padu.

“Keutamaan kita adalah menjaga nasib dan masa depan rakyat serta negeri (Sabah). Cabaran di hadapan kita adalah menangani isu kesihatan, keselamatan dan ekonomi susulan pandemik Covid-19.

“Justeru, sebagai Pengerusi GRS, saya amat menghargai pendirian beliau (Bung Moktar) yang terus bersama kerajaan GRS di Sabah,” katanya dalam kenyataan di Kota Kinabalu, pada Khamis.

Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri dipetik sebagai berkata dalam satu kenyataan terbuka pada sebelum ini, menyatakan bahawa UMNO Sabah berpendirian untuk terus kekal bersama rakan komponen dalam GRS bagi mempertahankan kerajaan Sabah yang kini ditadbir gabungan tersebut walaupun berdepan situasi politik semasa.

Timbalan Pengerusi I GRS itu juga berkata, UMNO Sabah bertindak mempertahankan kerajaan Sabah pada masa ini bagi memastikan janji kepada rakyat semasa Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-16 lepas dapat ditunaikan.

GRS adalah gabungan parti dalam Perikatan Nasional (Bersatu, Parti Solidariti Tanah Airku, Parti Progresif Sabah dan Pas); BN (UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah) dan Parti Bersatu Sabah.

 344 total views,  1 views today

Leave A Reply

Your email address will not be published.