Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Hun Sen menang kerusi Senat, kembali ke barisan hadapan politik Kemboja

0

PHNOM PENH: Parti pemerintah Kemboja, Parti Rakyat Kemboja (CPP), mendakwa pihaknya berjaya mencapai kemenangan besar pada Pilihan Raya Senat, hari ini.

Ia sekali gus menyaksikan bekas Perdana Menteri, Hun Sen, kembali ke barisan hadapan politik Kemboja secara rasmi selepas beliau mengundurkan diri pada tahun lalu.

Setelah hampir empat dekad memegang tampuk pemerintahan, Hun Sen menyerahkan kuasa kepada anak sulungnya, Hun Manet, selepas pilihan raya nasional pada Julai tahun lalu.

Ketika itu, Hun Sen menjelaskan walaupun telah melepaskan jawatan, beliau masih berhasrat untuk kekal berpengaruh.

Selepas pengundian ditutup, tengah hari tadi, CPP mendakwa parti itu telah menguasai Dewan Senat.

Jurucakap, Sok Eysan memaklumkan keputusan awal menunjukkan CPP membolot sekurang-kurang 50 daripada 58 kerusi Senat, sambil menambah: ‘sudah semestinya beliau (Hun Sen) adalah antara pemenang kerusi berkenaan.’

Beliau turut mengesahkan parti itu akan mencalonkan Hun Sen sebagai Presiden Dewan Senat – yang bakal membolehkannya bertindak sebagai pemangku ketua negara ketika Raja berada di luar negara – apabila ia dijangka bersidang pada April depan.

Namun, Jawatankuasa Pilihan Raya Kebangsaan dijangka mengambil masa beberapa minggu untuk mengeluarkan keputusan rasmi.

Terdahulu, Ahli Parlimen dan Presiden CPP berusia 71 tahun itu mengundi berhampiran kediamannya di bandar Takhmao.

Empat parti politik membabitkan CPP, Parti Funcinpec dan dua parti pembangkang kecil mengambil bahagian dalam pemilihan kali ini.

Daripada keseluruhan 62 kerusi Senat, sebanyak 58 kerusi diisi melalui pengundian oleh 125 Ahli Parlimen dan lebih 11,000 pentadbir tempatan.

Raja Norodom Sihamoni pula melantik dua senator, manakala Dewan Negara melantik baki dua penyandang lagi.

Pilihan raya itu menyusul selepas Ahli Parlimen menyokong anak lelaki bongsu Hun Sen, Hun Many, memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri. – AFP

 

 

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.