JAKARTA: Umrah ‘backpacker’ atau melakukan umrah kendalian sendiri (DIY) yang kian menjadi ikutan dalam kalangan rakyat Indonesia kini menjadi perdebatan.
Kementerian Agama, melalui Pengarah Bina Umrah dan Haji Khusus, Jaja Jaelani, pada 19 Februari mengumumkan larangan ibadah umrah ‘backpacker’ atau umrah kendiri bagi masyarakat, yang bertentangan dengan peraturan pemerintah di Indonesia.
Namun, Ketua Bidang Dakwah dan Ukhuwah Majlis Ulama Indonesia (MUI), Kiai Cholil Nafis, menyatakan pendapat yang berbeza.
Beliau membenarkan dan menggalakkan masyarakat untuk menunaikan umrah kendiri dengan beberapa syarat.
Beliau berpendapat bahawa akses pengangkutan dan visa yang semakin mudah seharusnya menjadi inovasi baru yang patut dicuba.
“Saya fikir bagus kerana model dan sistemnya juga sudah berubah. Visa, kemudahan akses, hotel dan pembimbing tidak sulit.
Pada masa depan, memang kita makin mudah untuk akses keliling di dunia, apalagi umrah yang lebih dekat dengan kita, orang boleh berangkat sendiri, melaksanakan, apalagi ibadahnya ialah ibadah sunah,” katanya kepada media Indonesia.
Merujuk kepada larangan umrah ‘backpacker’ oleh Kementerian Agama, Kiai Cholil menjelaskan bahawa aturan itu ditujukan bukan untuk jemaah melainkan kepada penyelenggara umrah.
Umrah ‘backpacker’, katanya tidak melanggar aturan hukum jika jemaah memenuhi persyaratan pentadbiran dan penginapan.
Bagaimanapun, Jaja menjelaskan, Kementerian Agama menegaskan alasan larangan umrah kendiri dan umrah ‘backpacker’ bagi jemaah Indonesia atas dasar keselamatan jemaah.
“Bagi jemaah yang belum pernah ada pengalaman ke Arab Saudi tentunya akan sangat berbahaya mengingat risiko dalam menjalani ibadah umrah. Jika ada apa-apa, siapa yang akan bertanggungjawab atas keselamatannya?” katanya.
Terdahulu, Menteri Agama, Yaqut Cholil Qoumas, menyatakan bahawa beliau bakal bertemu dengan kerajaan Arab Saudi untuk membincangkan kegiatan umrah ala pelancong ‘backpacker’. – AGENSI