Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Jangan manjakan anak dengan perkara melalikan — Elron

0

Oleh: KALAWON SALANGIT

KENINGAU (Sabah, Malaysia): — Datuk Elron Angin mengingatkan ibubapa agar tidak menterjemahkan kasih sayang mereka terhadap anak-anak dengan perkara-perkara yang boleh merosakkan tumpuan mereka terhadap pelajaran.

Contohnya jelas beliau, ialah seperti menghadiahkan alat-alat permainan maya, telefon pintar dan sebagainya.

“Tidak ada ibubapa yang tidak sayang anak, tetapi bukan dengan cara seperti itu,” katanya ketika berucap merasmikan majlis Moginakan sempena program membara parlimen Pensiangan yang dilangsungkan di perkarangan SK Sodomon pada Khamis (26 Mei 2016).

Terdahulu, Elron berkata bahawa tulang belakang pencapaian kecemerlangan murid-murid adalah melalui sokongan padu anggota keluarga terutama ibubapa.

“Peranan mereka (ibubapa) sangat penting di sini”,  katanya dan menambah, ibubapa merupakan guru yang kekal kepada anak-anak mereka.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah itu menekankan tanpa sokongan ibubapa anak-anak tidak memiliki jatidiri serta semangat untuk bersekolah.

Dengan mengambarkan ibubapa sebagai pembakar semangat kepada anak-anak untuk bersaing bagi mencapai kecemerlangan dalam pelajaran, Elron yang merupakan Wakil Rakyat Sook menjelaskan, kombinasi guru dan ibubapa sangat penting untuk melahirkan pelajar yang berkualiti.

“Kenyataan ini adalah fakta yang telah diakui,” katanya dan mengajak ibubapa agar mengambil langkah  memperkasakan kerjasama diantara mereka dengan warga pendidik.

Katanya, kerjasama yang beliau maksudkan sememangnya telah wujud cuma ia perlu dipertingkatkan selari dengan tuntutan masa yang semakin berubah.

Ketika ucapan pendulu, Yang Dipertua Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) Casmir Silip berkata, majlis Moginakan yang diadakan di sekolah itu bertujuan untuk meraikan usaha ibubapa yang pada selama ini telah bertungkus lumus untuk mengemas kini setiap kelas gedung ilmu itu.

“Kami berganding bahu untuk mengwujudkan suasana pembelajaran yang kondusif dan menarik kepada murid,” katanya, dan menambah Moginakan yang diadakan juga bertujuan untuk mengeratkan silaturahim diantara warga guru dan ibubapa.

Hadir sama Timbalan Ketua Umno Bahagian Pensiangan Abie Wednes Gamboi, Naib Ketua Umno Bahagian Pensiangan Ulin Datuk Pamiang, Ketua Penerangan Umno Bahagian Pensiangan Sakim Ibrahim, Ketua Pemuda Umno Pensiangan Jehan Osman, Guru Besar SK. Sodomon Anthony Amin, guru-guru penolong kanan dan pemimpin-pemimpin masyarakat setempat.

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.