KENINGAU (Sabah, Malaysia): — Gara-gara kerana memaut leher seorang anggota polis untuk tujuan mencabar, akhirnya dua lelaki tempatan masing-masing berumur 23 tahun dicekup.
“Pemuda ini juga cuba menyerang anggota polis dengan tali pinggang,” dedah Ketua Polis Keningau Deputi Supritendan Polis (DSP) Douglas Nyeging Taong.
Taong memberitahu kejadian itu berlaku kira-kira jam 2.00 petang pada 18 Mei lepas di kawasan bandar Keningau, ketika sepasukan anggota polis dari Cawangan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Keningau membuat intipan mengenai kegiatan ragut di kawasan itu.
Katanya, semasa membuat intipan pengadu bersama anggotanya melihat sekumpulan lelaki sedang berkumpul dalam keadaan yang mencurigakan.
“Pengadu bersama anggota kemudian mengejar salah seorang suspek yang disyaki terlibat dalam kegiatan ragut, tetapi diserang dengan kekerasan oleh dua orang suspek lelaki di mana seorang memegang tali pinggang” katanya dalam sidang media di IPD di sini.
Kedua-dua suspek berjaya ditangkap bersana seutas tali pinggang yang kemudiannya dibawa ke balai polis sebagai bahan bukti.
Menurut fakta kes, kedua-dua lelaki itu mengejar anggota polis yang sedang bertugas dari belakang yang kemudiannya salah seorang memaut leher anggota keselamatan menggunakan tangan kanan sambil berteriak berulang – “apa hal kau boss”, sementara salah seorang lagi mencabar untuk bergaduh dan cuba untuk memukul dengan menggunakan tali pinggang menyebabkan anggota keselamatan tidak dapat meneruskan pergerakan untuk mengejar suspek yang lain.
Taong berkata, anggota keselamatan telah memperkenalkan dirinya sebagai seorang polis yang sedang menjalankan tugas kepada kedua-dua suspek, namun mereka terus mencabar untuk bergaduh.
Rakan anggota keselamatan yang tiba di lokasi kemudian membantu memberkas salah seorang suspek yang masih memegang tali pinggang, sementara seorang sempat menolak secara kasar seorang anggota keselamatan yang lain yang kemudian bergegas melarikan diri namun sempat dicekup.
Kedua-dua suspek telah direma selama tiga hari untuk siasatan lanjut dan dirujuk di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipanjara selama tempoh tiga bulan atau denda sehingga RM1000 atau kedua-duaya sekali. – Oleh: KALAWON SALANGIT.
612 total views, 1 views today