KENINGAU (Sabah, Malaysia) — Kolej Tingkatan 6 perlu dibina di kawasan Pedalaman bagi memberi ruang dan peluang kepada keperluan pendidikan di peringkat Pra Universiti di kawasan ini.

Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Rasinin Koutis @ Kautis berkata, sebagai pemimpin di zon Pedalaman, beliau akan berusaha untuk memohon kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) agar Kolej Tingkatan 6 dibina di sini.
Ini katanya, kerana kawasan Pedalaman perlu ada satu Kolej untuk memusatkan pelajar Tingkatan 6 dari sekolah-sekolah menengah di kawasan ini.
Rasinin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri N.34 Liawan berkata, dengan adanya Kolej Tingkatan 6 di zon Pedalaman ini, sistem pentadbirannya dapat dijalankan dengan lebih berkesan.
“Sudah sampai masanya keperluan pendidikan di peringkat Pra Universiti seperti yang telah diwujudkan di Kota Kinabalu, Tawau dan Sandakan diwujudkan di kawasan Pedalaman” katanya semasa berucap pada Istiadat Konvokesyen Ke 5 Lepasan STPM 2018 Bahagian Pedalaman (Keningau, Nabawan, Tenom dan Tambunan) di Dewam SMJK Kem Hwa di sini kelmarin.
Menyentuh mengenai pencapaian semasa para graduan Lepasan STPM tahun 2018, Rasinin berkata, beliau amat berbangga dengan pusat-pusat Tingkatan 6 di daerah-daerah Pedalaman yang telah menunjukkan prestasi yang sangat posifif.
Malahan katanya, beberapa sekolah yang menerima anugerah lonjakan kecemerlangan dan pencapaian seratus peratus lulus penuh.
Katanya, terdapat tiga buah sekolah mencapai kelulusan penuh seratus peratus iaitu SMK Keningau, SM Ken Hwa dan SMK Sook.
Sementara itu katanya, sekolah-sekolah lain seperti SMK Bingkor, SMK Keningau II, SMK Gunsanad dan SMK Nabawan telah mencapai keputusan positif dengan peningkatan kualiti kelulusan yang sangat ketara.
Dan yang paling membanggakan katanya, adalah terdapat tiga calon (pelajar) yang mendapat purata nilai gred kumulatif (PNGK) 4.00 iaitu Norbiana Abidin (SMK Keningau II), Richo Terryson Radius @ Dius dan Ellyriscka Justine masing-masing dari SMK Bingkor.
Dalam masa yang sama Rasinin menggesa seluruh lapisan masyarakat di daerah ini agar sentiasa menguatkan keazaman untuk meningkatkan taraf pendidikan diri dan keluarga.
Dalam pada itu katanya, ibu bapa pelajar haruslah memainkan peranan sebagai penggalak dan pembantu yang paling efisen kepada pihak sekolah memperjuangkan misi pendidikan negara.
“Para ibu bapa hendaklah mengetahui lebih dekat akan perkemangan anak-anak mereka dalam pelajaran tanpa melepaskan seratus peratus peranan tersebut kepada pihak sekolah. Memang benar sekolah merupakan gedung menimba ilmu tetapi rumah dan peranan keluarga adalah pelengkap paling wajib kepada sesebuah kejayaan pendidikan” jelasnya.
Oleh itu katanya, ibu bapa dan pihak sekolah hendaklah mempunyai permuafakatan yang baik agar aktiviti yang berkaitan dengan peningkatan prestasi sekolah dapat dilaksanakan dengan kondusif.
Pada Istiadat Konvokesyen itu empat pelajar terbaik STPM 2018 peringkat daerah Keningau menerima Anugerah Khas PPD terdiri dari Chong Wen Jia, Aliran Sains (SMJK Ken Hwa), Norbiana Abidin, Aliran Kemanusiaan (SMK Keningau II), Richo Terryson Radius @ Dius, Aliran Kemanusiaan (SMK Bingkor), Ellyfriscka Justine, Aliran Kemanusiaan (SMK Bingkor) dan Melanie Beryl Benignus, Aliran Kemanusiaan (SMK Nabawan) bagi peringkat daerah Nabawan.
Berucap sama, Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Keningau Masly Wahip dan Pengarah Istiadat Konvokesyen ke 5 itu Abdul Ghani Ajim yang juga Penolong Kanan Tingkatan 6 SMK Keningau dan Pengerusi Permuafakatan Tingkatan 6.
Hadir sama, Pengetua-Pengetua dan Penolong-Penolong Kanan Tingkatan 6 sekolah-sekolah terlibat
![]()