PEGAWAI Kesihatan Kawasan Keningau Dr. Norhaizam bin Ahmad @ Narawi mengesahkan satu kes jangkitan penyakit kolera dikesan di Kg. Ambual Keningau pada Isnin (14 Jun 2021).
Sehingga berita ini ditulis identiti pesakit tidak didedahkan, tetapi pihak berkuasa kesihatan di daerah pedalaman Sabah itu menasihatkan orang ramai supaya mengambil langka berjaga-jaga.
Penyakit kolera atau taun merupakan sejenis penyakit berjangkit bawaan air yang disebabkan bakteria vibrio Cholerae, yang menjangkit manusia apabila mengambil makanan yang tercemar oleh bakteria tersebut.
Lewat tengahari pada Isnin Dr. Norhaizam bersama Pegawai Daerah Keningau Walter Kenson dalam satu kenyataan bersama memberitahu bahawa langkah-langkah kawalan penularan telah dibuat lebih awal.
Kedua-dua pegwai itu memberi jaminan bahawa situasi terkawal dan meminta orang ramai supaya tidak cemas.
“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pejabat Daerah telah membentuk kerjasama untuk melakukan tindakan sewajarnya,” Jelas kenyataan itu.
“Saya menasihatkan penduduk Keningau untuk sentiasa memasak air minuman dan menggunakan air dirawat untuk memasak,” Pegawai Daerah Keningau Walter Kenson dipetik sebagai berkata dalam kenyataan itu.
Sementara itu Dr. Norhaizam menjelaskan penyakit kolera boleh dicegah dengan mengamalkan penjagaan kebersihan diri.
“Basuh tangan dengan sabun sebelum menyediakan, menghidang dan memakan makanan dan selepas menggunakan tandas,”
“Meminum air dan makanan yang telah dimasak sempurna, menggunakan air bersih untuk mencuci sayur-sayuran , buah-buahan dan alat-alat memasak,” Katanya dan memberitahu bahwa tanda-tanda penyakit kolera adalah cirit-birit berair yang menyerupai air basuhan beras.dengan atau tanpa muntah-muntah.
Tambahnya, cirit-birit boleh berlaku selepas 2 jam atau 5 hari selepas mengambil air yang tercemar.