Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

PA harap gencatan senjata diisytihar di Gaza menjelang Ramadan

0

ANKARA: Pihak Berkuasa Palestin (PA) berharap gencatan senjata dapat dicapai menjelang Ramadan tidak lama lagi, kata Menteri Luar Palestin Riyad al-Maliki.

Bercakap pada sidang media di forum diplomatik di Antalya, Turkiye, Riyad berkata PA akan menjadi satu-satunya pihak berkuasa yang sah untuk mentadbir Gaza selepas perang.

“PA akan menjalankan pemerintahan sendiri di bahagian Tebing Barat yang diduduki Israel, selepas kehilangan kawalan ke atas Gaza kepada kumpulan pejuang Hamas pada 2007,” katanya.

Israel dan Hamas telah berunding melalui pengantara mengenai kemungkinan gencatan senjata di Gaza dengan tujuan untuk menghentikan peperangan pada bulan Ramadan iaitu bulan puasa bagi umat Islam yang dijangka bermula pada 10 Mac ini.

Menurut dua sumber keselamatan Mesir, rundingan gencatan senjata Gaza dijangka disambung semula di Kaherah pada Ahad.

Kedua-dua pihak telah bersetuju mengenai tempoh gencatan senjata Gaza serta pembebasan tebusan dan banduan.

Bagaimanapun, sumber itu berkata penyelesaian perjanjian itu masih memerlukan persetujuan mengenai pengunduran tentera Israel dari utara Gaza dan kepulangan penduduknya.

Menurut sumber itu lagi, tragedi pada Khamis lalu menyebabkan lebih 100 rakyat Palestin yang meminta bantuan terbunuh akibat serangan Israel, setakat ini tidak menjejaskan proese rundingan.

Kementerian kesihatan yang dikendalikan pejuang Hamas di Gaza berkata, angka kematian terkini akibat perang di wilayah Palestin itu telah mencecah 30,320 mangsa selepas 92 kematian baharu dicatatkan dalam tempoh 24 jam lalu.

Kementerian itu juga berkata seramai 71,533 orang cedera di Gaza sejak perang meletus pada 7 Oktober tahun lalu. – REUTERS

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.