LUMAJANG : Hasrat seorang lelaki untuk melarikan diri ke Malaysia selepas membunuh isteri keduanya tidak kesampaian apabila dia ditahan pihak berkuasa bagi membantu siasatan.
Suspek yang berusia 27, berasal dari Lumajang, Jawa Timur didakwa membunuh isterinya yang hamil lima bulan kerana mengesyaki wanita itu mempunyai hubungan dengan lelaki lain.
Jurucakap polis Jawa Timur, Dirmanto berkata, suspek mengahwini mangsa yang merupakan ibu tunggal dengan dua anak.
Katanya, selama enam bulan pasangan itu berkahwin, mereka tidak tinggal serumah kerana tidak diizinkan oleh isteri pertamanya, selain mangsa sering diserang isteri pertama suspek.
“Ketika hari kejadian, suspek datang ke rumah mangsa sebanyak dua kali, namun mangsa tiada dan membuatkan suspek berfikir isterinya keluar dengan lelaki lain.
“Kali kedua dia datang ke rumah mangsa, suspek bertemu dengan ibu bapa mentuanya dan memarahi mereka kerana tidak mengetahui ke mana isterinya pergi.
“Suspek kemudiannya menaiki motosikal dan mencari isterinya di kawasan sekitar sambil membawa pisau tajam sebelum menemukan mangsa di Desa Ranurogong,” katanya kepada Kompas.com.
Ketika ditemukan, suspek memberitahu polis dia terhidu bau minuman keras pada isterinya, namun wanita itu menafikan dia mengambil alkohol.
Suspek kemudiannya membawa mangsa pulang ke rumah menaiki motosikal, namun di pertengahan jalan, pasangan itu bergaduh menyebabkan suspek mengelar badan isterinya sebanyak enam kali.
Kelaran itu mengenai bahagian tangan, pinggang dan siku mangsa, menyebabkan dia rebah ke tanah.
“Melihat isterinya rebah dengan berlumuran darah, suspek terus meninggalkan mangsa di kawasan sawah padi.
“Suspek melarikan diri ke rumah saudaranya dan merancang untuk menaiki feri ke Malaysia, namun polis berjaya memberkasnya tidak lama kemudian,” ujar Dirmanto.