Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Maghribi tidak ubah macam Rocky Balboa

0

DOHA: Jurulatih Maghribi, Walid Regragui berkata, pasukannya adalah ‘Rocky Balboa’ di Piala Dunia Qatar selepas Atlas Lion menjadi pasukan Afrika pertama layak ke separuh akhir apabila menewaskan Portugal di suku akhir kelmarin.

Skuad dari Afrika Utara yang dilanda kecederaan itu terpaksa mengamalkan corak permainan bertahan untuk mencatatkan kemenangan 1-0 di Stadium Al Thumama sekali gus menempah pertemuan dengan Perancis di Separuh akhir.

Kemenangan ke atas Portugal hadir selepas Youssef En-Nesyri menanduk masuk gol sebelum babak pertama tamat, di pusingan 16 terbaik mereka menundukkan Sepanyol menerusi sepakan penalti dan menewaskan Belgium di peringkat kumpulan.

“Maghribi akan menjadi pasukan yang semua orang suka pada Piala Dunia ini kerana kami menunjukkan bahawa walaupun anda tidak mempunyai banyak bakat, jika ada menunjukkan keinginan, hati dan kepercayaan itu anda boleh mencapainya.

“Saya pasti ramai di antara anda akan mengatakan ini satu keajaiban tetapi kami menang tanpa bolos menentang Belgium, Sepanyol serta Portugal dan ia adalah hasil kerja keras.

“Apabila anda menonton Rocky Balboa, anda mahu menyokong Rocky Balboa kerana kerja keras dan komitmennya, saya rasa kami adalah Rocky Balboa di Piala Dunia ini,” kata Regragui.

Kemenangan itu menyaksikan Maghribi akan bertemu penyandang juara Perancis yang menyingkirkan England 2-1 dan mereka berpeluang menjadi negara pertama dari luar Eropah atau Amerika Selatan mara ke final.

“Kami boleh bermimpi, kenapa kita tidak boleh bermimpi memenangi Piala Dunia?. Ia tidak memerlukan apa-apa untuk sebuah impian. Negara Eropah sudah biasa memenangi Piala Dunia.

“Kami sudah bermain menentang beberapa pasukan hebat dunia tapi setakat ini kami tidak mencapai apa-apa,” tambah Regragui yang hanya mengambil alih jawatan jurulatih pada Ogos lalu.

Mengulas mengenai perlawanan menentang Portugal, Regragui berkata, beliau sedar pasukannya menentang sebuah pasukan yang hebat ketika mereka berhadapan masalah kecederaan.

“Kami menentang pasukan Portugal yang hebat. Kami mengeluarkan apa yang ada, kami masih ada pemain yang cedera.

“Saya beritahu pemain-pemain sebelum perlawanan yang kita perlu merakam sejarah untuk Afrika. Saya amat gembira,” kata Regragui.

Dalam pada itu, pemain sayap Maghribi, Sofiane Boufal berharap mereka mampu melangkah lebih jauh.

“Ia gila. Kami sedang bermimpi dan tidak mahu terjaga. Bulu roma saya meremang. Apa yang kami capai, memang hak kami. Kami bekerja keras namun, ia belum berakhir. Masih ada separuh akhir dan InsyaAllah, final,” kata Boufal. – AGENSI.

 

 334 total views,  1 views today

Leave A Reply

Your email address will not be published.