TEHRAN: Calon reformis Iran, Masoud Pezeshkian, hari ini memenangi pilihan raya presiden pusingan kedua, menentang calon ultrakonservatif, Saeed Jalili, kata Kementerian Dalam Negeri.
Jurucakap pihak berkuasa pilihan raya, Mohsen Eslami, berkata Masoud mendapat lebih 16 juta undi dan Saeed lebih 13 juta daripada kira-kira 30 juta undi, manakala peratusan keluar mengundi adalah 49.8 peratus.
Pilihan raya itu diadakan awal selepas kematian presiden ultrakonservatif, Ebrahim Raisi, dalam nahas helikopter, menyusuli pusingan pertama yang menyaksikan peratusan keluar mengundi paling rendah dalam sejarah minggu lalu.
Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, yang memegang kuasa tertinggi menggesa supaya jumlah keluar mengundi lebih tinggi dalam pusingan kedua, dengan menekankan kepentingan pilihan raya.
Beliau berkata, peratusan keluar mengundi pusingan pertama adalah lebih rendah daripada jangkaan, namun menyifatkan ia bukan satu tindakan ‘menentang sistem’.
Pengundian itu dilaksanakan dengan latar belakang ketegangan serantau yang memuncak berhubung perang Gaza, pertikaian dengan Barat mengenai program nuklear Iran dan rasa tidak puas hati pada peringkat dalaman terhadap keadaan ekonomi Iran yang dilanda sekatan.
Pada pusingan pertama minggu lalu, Masoud, iaitu satu-satunya reformis yang dibenarkan bertanding, memenangi jumlah undian terbesar, kira-kira 42 peratus, manakala Saeed di tempat kedua dengan kira-kira 39 peratus, berdasarkan angka daripada pihak berkuasa pilihan raya Iran.
Hanya 40 peratus daripada 61 juta pengundi Iran yang layak mengambil bahagian dalam pusingan pertama, peratusan keluar mengundi paling rendah dalam mana-mana pilihan raya presiden sejak Revolusi Islam 1979.
Pencalonan Masoud, yang tidak diketahui sehingga baru-baru ini, meningkatkan harapan reformis Iran selepas bertahun-tahun dikuasai kem konservatif dan ultrakonservatif.
Gabungan reformis utama Iran menyokong Masoud, dengan sokongan bekas presiden, Mohammad Khatami dan Hassan Rouhani, seorang yang sederhana.
Masoud, seorang pakar bedah jantung berusia 69 tahun, menggesa ‘hubungan yang membina’ dengan negara Barat untuk menghidupkan semula perjanjian nuklear bagi ‘membebaskan Iran daripada pengasingan’.
Beliau juga berikrar untuk melonggarkan sekatan internet yang telah lama wujud dan menentang ‘sepenuhnya’ rondaan polis moral yang menguatkuasakan syarat mewajibkan pemakaian tudung bagi wajib.
Isu itu menjadi krisis besar yang berprofil tinggi sejak kematian aktivis wanita, Mahsa Amini, dalam tahanan polis pada 2022 selepas ditahan kerana tidak memakai tudung.
Wanita berbangsa Kurd Iran berusia 22 tahun itu ditahan kerana didakwa melanggar kod pakaian dan kematiannya mencetuskan kekacauan selama berbulan-bulan di seluruh Iran. – AFP