Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Mekanisme pembayaran 40%, Sabah dan Persekutuan perlu bincang – Ewon

0
Ewon menjawab soalan wartawan di Telupid

TELUPID (Sabah, Malaysia): Perbincangan bagi menentukan mekanisme pembayaran semula 40 peratus hasil Persekutuan di Sabah perlu dibuat di antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan, jelas Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick.

Memberitahu perkembangan itu kepada pemberita di Telupid, Ewon berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Haji Noor pada Selasa ini (9 Januari) untuk mempersembahkan cadangan mekanisme hasil perbincangan para pemimpin UPKO bersama pakar-pakar dalam bidang berkaitan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick menyampaikan sumbangan kepada wakil gereja Telupid, turut kelihatan Ketua Pemuda Umpko Malaysia Felik Joseph Saang

“Di peringkat saya, sebagai Presiden UPKO dan anggota Kabinet Persekutuan, saya telah mengadakan satu perbincangan meja bulat pada 19 Disember 2023 melibatkan pakar-pakar tertentu termasuk bidang guaman, mantan majistret dan  mereka yang mempunyai pengalaman luas dalam perakaunan, percukaian dan pengauditan.

“Kita telah mencapai satu kesepakatan untuk mencadangkan satu mekanisme dan pada Selasa ini, saya akan mengadakan perjumpaan dengan Ketua Menteri Sabah untuk mencadangkan hasil perbincangan meja bulat tersebut yang mencakupi cadangan mekanisme pembayaran semula 40 peratus hasil Persekutuan di Sabah.

“Saya maklum usaha ini perlu dibuat secara “G to G” iaitu antara kerajaan negeri dan persekutuan, sebab itu cadangan ini saya serahkan dahulu kepada Ketua Menteri Sabah untuk dibincangkan di peringkat kerajaan negeri melalui mesyuarat Kabinet,” katanya.

Ewon yanag merupakan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi ditemui selepas merasmikan majlis Sambutan Rumah Terbuka Krismas dan Tahun Baharu 2024 anjuran UPKO, di Dewan Majlis Daerah Telupid, Sabtu.

Ewon optimis, kerajaan negeri akan tampil dengan mekanisme baharu untuk dikemukakan kepada kerajaan persekutuan.

“Formulanya sudah ada iaitu 40 peratus, cuma mekanismenya kerana ia melibatkan satu tuntutan tertunggak, tuntutan pembayaran bagi tempoh yang akan datang dan melibatkan perbincangan mengenai hasil yang dipungut secara langsung oleh pejabat-pejabat hasil di Sabah dan juga hasil-hasil yang tidak dikutip oleh pejabat hasil di Sabah (terus melalui pejabat hasil di Semenanjung),” katanya.

Menambah bahawa perbincangan mengenai isu itu sangat teknikal, Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang dan Adun Kadamaian berkata; “Maka  kita perlu tampil dengan satu mekanisme yang memudahkan semua pihak (kerajaan persekutaun dan kerajaan negeri) untuk melaksanakan apa yang tertunggak sejak 1974,”.

Beliau yakin usaha itu memberikan hasil positif dan mendapat sokongan seluruh rakyat Sabah.

“Kita maklum ramai pemimpin daripada Sabah pernah duduk dalam kabinet persekutuan dan pada saya, ini satu tanggungjawab besar, sebab itu saya mengambil inisiatif sendiri dengan sokongan parti untuk mencari cadangan mekanisme untuk perkara ini,” Tegasnya.

Menjawab satu soalan, Ewon berkata, parti itu sentiasa terbuka dan mengalu-alukan sesiapa sahaja yang ingin menyertai UPKO.

“Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, selaku Presiden UPKO, kita mengalu-alukan kemasukan semula bekas-bekas ahli termasuk yang pernah menjadi pemimpin tertinggi parti.

“Kita telah mengadakan beberapa program pada bulan lepas iaitu melibatkan mantan timbalan ketua menteri, mantan wakil-wakil rakyat UPKO yang terdahulu dan perbincangan masih giat dijalankan. Saya amat pasti bila tiba masanya kita akan mengadakan acara kemasukan semula mereka ke dalam parti.

“Pada masa yang sama kita turut menerima kemasukan ahli-ahli baharu terutamnya di kalangan belia,” katanya.

Jelasnya, ini menjadikan UPKO satu parti yang terbuka kepada semua golongan  masyarakat.

 266 total views,  1 views today

Leave A Reply

Your email address will not be published.