Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Sultan Johor tidak terima permohonan mengadap sehingga 31 Januari

0

JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah baginda tidak akan menerima apa-apa permohonan mengadap bermula hari ini sehingga 31 Januari depan.

Titah baginda, pemakluman sedemikian melainkan majlis yang telah ditetapkan serta sesi mingguan bersama Menteri Besar Johor serta kepemimpinan kerajaan negeri.

“Bermula sekarang sehingga saya mengangkat sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong, saya tidak akan menerima apa-apa permohonan untuk mengadap.

“Dalam tempoh berkenaan, saya ingin meluangkan masa berkualiti bersama keluarga sebelum menjalankan amanah dan tanggungjawab yang cukup besar,” titah baginda dalam Royal Press Office (RPO).

Oktober tahun lalu, Sultan Ibrahim dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-17 untuk tempoh lima tahun bermula 31 Januari 2024.

Pemilihan baginda dibuat pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-263 (Khas) yang berlangsung di Istana Negara.

Baginda akan menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang bakal menamatkan tempoh pemerintahan pada 30 Januari 2024.

Ayahanda Sultan Ibrahim, Almarhum Sultan Iskandar merupakan Yang di-Pertuan Agong Ke-8 yang dipilih pada tahun 1984.

 

 69 total views,  1 views today

Leave A Reply

Your email address will not be published.