Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Menteri Indonesia bantah bahasa Melayu dijadikan bahasa ASEAN

0

JAKARTA: Kementerian Pendidikan, Budaya, Penyelidikan dan Teknologi Indonesia menolak usul Malaysia untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN.

Menerusi satu kenyataan bertulis, menterinya, Nadiem Makarim berkata, adalah lebih wajar untuk menganggap bahasa Indonesia sebagai bahasa ASEAN, dengan mengambil kira kelebihan sejarah, undang-undang dan linguistik.

“Saya sebagai Menteri Pendidikan, Budaya, Penyelidikan dan Teknologi sudah tentu menolak usul tersebut.

“Namun, disebabkan keinginan negara jiran kita untuk mencadangkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi ASEAN, sudah tentu hasrat ini perlu dikaji dan dibincangkan dengan lebih lanjut di semua peringkat.

“Dalam pada masa sama, saya menggesa semua masyarakat untuk bekerjasama dengan kerajaan untuk memperkasa dan mempertahankan bahasa Indonesia,” katanya.

Kenyataan itu dibuat selepas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan Presiden Joko Widodo (Jokowi) sudah punn bersetuju dengan usul Putrajaya untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi ASEAN pada masa akan datang.

Pada bulan lalu, Ismail Sabri menyatakan Malaysia akan mengadakan perbincangan dengan pemimpin serantau untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN.

Katanya, selain Malaysia, bahasa Melayu juga digunakan secara meluas di Indonesia, Brunei, Singapura, selatan Thailand, selatan Filipina dan sebahagian di Komeboja.

Dalam pada itu, Nadiem menjelaskan, pada peringkat antarabangsa, bahasa Indonesia digunakan di 47 negara di seluruh dunia.

Selain itu, beliau tegaskan, bahasa Indonesia turut diajar di 428 institusi luar termasuk kampus kelas dunia di Eropah, United Kingdom, Australia dan Asia. – AGENSI

 

 705 total views,  1 views today

Leave A Reply

Your email address will not be published.