NABAWAN (Sabah, Malaysia): Selepas menganjurkan pesta berkembar Kalimaran dan Ka’amatan daerah kecil Pagalungan yang bertaraf lima bintang pada selasa lalu (17 Mei 2016), Daerah Nabawan mencipta sejarah lagi apabila berjaya menghidupkan pesta Panawari yang dilupai kira-kira 50 tahun yang lalu.
Kali terakhir sambutan Panawari ialah sekitar tahun 1960an di daerah kecil Pensiangan yang pada ketika itu merupakan pusat pentadbiran di kawasan terpencil itu.
Panawari atau juga dikenali ‘januari’ yang disambut pada era itu mempersembahkan pelbagai acara yang antara lain sukan rakyat masyarakat etnik Murut, selain medan untuk memasarkan hasil tani etnik Murut yang tinggal bertaburan di pesisir Pensiangan dan sekitar.
“Keunggulan Panawari wajar dihidupkan kerana ia masih relevan,” dedah Wakil Rakyat Nabawan – Datuk Bobbey Suan ketika berucap di perasmian sukan rakyat sempena pelancaran Panawari yang kedua di Nabawan pada Jumaat (20 Mei 2016).
Ketika mengimbas sambutan Panawari pada era 60an, Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah itu berkata, ramai bakat etnik Murut dicungkil setiap kali pesta itu dianjurkan khususnya kebolehan dalam industri rekacipta yang mereka kongsi bersama sepanjang sambutan itu.
Sebagai contoh katanya, pencipta benang berasaskan daun nenas adalah dikalangan etnik Murut, dan kebolehan mereka hanya dapat diketahui semasa sambutan pesta itu.
Dalam bidang saradiri jelasnya, kebolehan etnik itu menggunakan senjata berburu seperti menyumpit, menyelam untuk menangkap ikan serta menggunakan lembing dipersembahkan kepada penonton untuk tujuan dikongsi.
“Sukan rakyat seperti lumba perahu, Tarik tali, pukul bantal, menyelam di sungai, lalakuton serta persembahan kuntau atau silat semua dalam pakej panawari,” katanya.
Sebagai peneraju sambutan samula panawari di negeri ini, Bobbey mencadangkan supaya acara itu dicatatkan dalam kalender pelancongan, apa yang beliau sifatkan sebagai akses kepada rakyat di kawasan pedalaman untuk memasarkan produk mereka kepada pelancong luar.
Katanya, panawari pada hemat beliau merupakan jambatan perpaduan, selain mekanisma pemuliharaan budaya agar sentiasa relevan pada sepanjang masa.
“Apa yang ada dalam fikiran saya ialah untuk meletakkan etnik Murut maju pada era globalisasi, dengan tidak memencilkan adat dan budaya” katanya.
Pegawai Daerah Nabawan – Fredian Gan berkata sambutan itu dikelolakan bersama oleh jawatankuasa induk Panawari dan Persatuan Murut Sabah (PMS).
“Ia diilhamkan sejak tahun lepas dan dilancarkan secara besar-besaran pada tahun ini,” katanya dan menambah ia akan dicadangkan sebagai acara tahunan yang akan diselaras dengan pesta ka’amatan.
Timbalan Presiden Persatuan Murut Sabah (PMS) – Datuk Taiming Lumaing turut hadir, selain Ketua Daerah Nabawan OKK Sayau Tangkap serta pemimpin-pemimpin setempat diantara ribuan menghadiri perasmian menghidupkan pesta gilang gemilang itu. – Oleh: KALAWON SALANGIT.