KUALA LUMPUR: Negara Asia harus bekerjasama rapat dalam semangat kerjasama dan perpaduan yang berusaha ke arah mengurangkan ketidaksamaan dan mengalakkan keadilan sosial serta meningkatkan taraf hidup untuk semua.
Peringatan itu disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Forum Boao Untuk Persidangan Tahunan Asia 2023 (BFA 2023) yang dihadiri beberapa pemimpin dunia termasuk Perdana Menteri China, Li Qiang.
Anwar berkata, Laporan Upah Global Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) 2023-2023 menunjukkan gaji dan kuasa beli isi rumah merosot dengan ketara akibat tempias Covid-19 dan inflasi global.
Katanya, dunia akan berdepan masalah peningkatan ketidaksamaan yang boleh mencetuskan kekacauan sosial akibat masalah kejatuhan mendadak pendapatan isi rumah sekiranya tiada tindak balas berkesan bagi menangani isu kemerosotan gaji dan kuasa membeli.
Sehubungan itu, jelas beliau, semua pihak harus bekerjasama rapat dalam satu semangat kerjasama dalam usaha ke arah mengurangkan ketidaksamaan, menggalakkan keadilan sosial dan meningkatkan taraf hidup untuk semua masyarakat.
“Untuk majoriti populasi dunia, pendapatan gaji kekal sebagai bentuk pendapatan utama. Bagaimanapun, menurut Laporan Upah Global ILO 2022-2023, gaji dan kuasa beli isi rumah telah merosot dengan ketara disebabkan oleh Covid-19 dan inflasi global.
“Dengan ketiadaan tindak balas dasar mencukupi, masa depan yang terdekat akan menyaksikan kejatuhan mendadak dalam pendapatan sebenar, peningkatan dalam ketidaksamaan yang boleh mencetuskan lagi keresahan sosial.
“Sehubungan dengan itu, kita harus bekerjasama rapat dalam semangat kerjasama dan perpaduan, berusaha ke arah mengurangkan ketidaksamaan, menggalakkan keadilan sosial dan meningkatkan taraf hidup untuk semua.
“Menterjemahkan cita-cita tinggi kepada realiti praktikal, perpaduan dan kerjasama adalah contoh terbaik dalam merealisasikan Inisiatif Belt and Road. Dengan pandemik di belakang kita, kita harus cuba mendapatkan semula momentumnya,” katanya ketika ketika berucap dalam sesi pleno BFA 2023 yang bertemakan ‘Ketidaktentuan Dunia: Perpaduan dan Kerjasama untuk Pembangunan Di Tengah Cabaran’ di Hainan.
Pada masa sama, Anwar menjelaskan, konsep Malaysia Madani diperkenal kerajaan perpaduan pimpinannya bertujuan mewujudkan sebuah negara yang mempunyai asas berperikemanusiaan selaras dengan nilai ketamadunan.
“Dalam pengertian ini, ia juga falsafah negara kita berpaksikan enam nilai teras iaitu kemampanan, kemakmuran, inovasi, rasa hormat, amanah dan belas kasihan,” katanya.
Anwar kemudiannya berkongsi pandangan dengan dunia haruslah menumpukan kepada nilai yang menyatukan rakyat sebagai sebuah keluarga manusia dan bukannya nilai memecahbelahkan bagi mencapai solidariti dan kerjasama untuk pembangunan di tengah-tengah cabaran.
“Etika, keikhlasan dan integriti dalam berurusan dengan rakan kongsi dalam situasi dua hala dan pelbagai hala harus diutamakan,” katanya.
Perdana Menteri berkata, konsep akauntabiliti demokrasi harus diutamakan dan bukannya sekadar dilontarkan sekadar slogan atau istilah demokrasi yang telah digunakan sebagai cara untuk melindungi negara mengikut piawaian yang agak sembarangan.
“Pada fikiran saya, kebertanggungjawaban demokratik meminta pemimpin untuk bertanggungjawab kepada rakyat. menyediakan taraf hidup yang lebih baik, ketelusan dalam proses membuat keputusan dan asas amalan menyeluruh tadbir urus yang baik dan berkesan” katanya.
Sementara itu, Anwar mengadakan pertemuan empat mata bersama rakan sejawatnya dari Singapura, Lee Hsien Loong bagi membincangkan beberapa perkara melibatkan hubungan dan kerjasama dua hala antara Malaysia dan Singapura sebelum kedua-dua pemimpin itu menghadiri BFA 2023.
Semalam, Anwar tiba di Hainan, China bagi menghadiri BFA 2023 di China dalam misi lawatan ke negara itu sehingga Sabtu ini.
Sepanjang lawatan ke China, Anwar dijangka mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden China, Xi Jinping selain menghadiri iftar yang dianjurkan oleh Malaysia-China Chamber of Commerce serta dijadual terlibat Mesyuarat Meja Bulat bersama pelabur-pelabur berprofil tinggi dan tokoh-tokoh korporat China diikuti dengan Forum Perniagaan membabitkan 1,000 orang peserta dari kedua-dua negara.