PENSIANGAN (Sabah, Malaysia) Kira-kira 1,000 penduduk Kampung Pohon Batu dan sekitarnya merayu pihak berkenaan agar menyelanggara dan seterusnya menaiktaraf jalan raya sejauh lebih kurang 100 kilometer yang masih berstatus jalan balak.
Beberapa penduduk yang ditemui mendakwa keadaan jalan yang sudah berpuluh-puluh tahun tidak dinaiktaraf itu menyebabkan taraf hidup penduduk kampung tidak berubah kerana segala usaha untuk meningkatkan ekonomi dan taraf hidup penduduk melalui kegiatan pertanian tidak dapat dilaksanakan.
Seorang penduduk Arif Agitor berkata, sejak 30 tahun yang lalu mereka sudah mengharapkan jalan di kampung mereka dapat dinaiktaraf daripada status jalan balak kepada jalan kerajaan atau diambil alih oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Tetapi hakikatnya ia bagaikan mimpi sahaja apabila kehadiran tahun 2020 yang telah menjanjikan banyak harapan kepada generasi yang sempat melihat angka 2020 tidak dapat merubah taraf hidup penduduk Kampung Pohon Batu yang sudah wujud ratusan tahun yang lalu. Ibarat kata pepata lebih berat mata memandang, lebih berat lagi bahu memikul begitulah hakikatnya bagi penduduk kampung ini” kata Arif yang merupakan bekas Ketua Kampung Pohon Batu A.
Keadaan ini katanya, menyebabkan kenderaan mereka sering mengalami kerosakan dengan kos penyelanggaraan yang tinggi.
Bagi Timbalan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Pohon Batu Baranis Angkusoi, Wawasan 2020 yang diilhamkan oleh Pendana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammed semasa menjadi Perdana Menteri keempat sesungguhnya telah memberi harapan kepada penduduk kampung itu apatah lagi bagi warga SK Pohon Batu yang sangat memerlukan jalan raya yang lebih selesa.
Sejak SK Pohon Batu diwujudkan pada tahun 1956 warga sekolah itu terutama guru-guru yang silih berganti ditugaskan di sekolah itu tidak terkecuali dari menghadapi masalah dalam perjalanan akibat keadaan jalan ke Kampung Pohon Batu yang sukar dilalui oleh kenderaan.
Baranis yang merupakan bekas Ketua Kampung Pohon Batu B, berkata, masalah itu telah berkali-kali disuarakan kepada pihak atasan namun ia tidak ditangani dengan serius sehinggalah munculnya tahun 2020 yang telah menjanjikan banyak harapan.
“Justeru itu sebagai bekas pemimpin dan anak jati kampung ini yang telah merasa keperitan hidup dengan jalan yang menjadi pertaruhan antara hidup dan mati apabila melalui jalan yang curam dan licin, saya berharap Kerajaan Baru dapat melihat masalah ini sebagai keutamaan” katanya.
Menurut Baranis kerosakan jalan yang amat teruk itu bukan sahaja menyulitkan penduduk tetapi juga guru-guru di SK Pohon Batu.
“Turut terkesan dengan keadaan jalan yang tidak diselanggara adalah pembekal Rancangan Makanan Tambahan (RMT) sekolah itu kerana tidak dapat menyediakan menu yang telah ditetapkan akibat jalan yang tidak boleh dilalui pada musim hujan” jelasnya.
Sementara itu Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) kampung itu Andoroh Andipoh ketika ditemui mengesahkan keadaan jalan masuk ke Kampung Pohon Batu pada masa ini memang sukar dilalui dan dalam keadaan bahaya.
“Jika tersilap langkah boleh saja mengundang perkara yang tidak diingini kepada pengguna” katanya.
Ini katanya, kerana keadaan jambatan yang dibuat oleh penduduk secara gotong-royong tidak selamat dilalui bagi jangka panjang.
Justeru itu beliau merayu kepada pihak yang berkenaan agar memandang serius masalah yang berlanjutan sehingga tahun 2020 ini.
Kampung Pohon Batu adalah salah satu kampung yang terpencil di kawasan Pensiangan namun pada suatu ketika dahulu dibawah petadbiran Daerah Keningau sebelum persempadan kawasan Pilihan Raya diubah.
Walaupun pada ketika ini kampung ini dibawah petadbiran Daerah Nabawan, sekolahnya SK Pohon Batu masih dibawah petadbiran Pejabat Pendidikan Daerah Keningau.
Sebelum merdeka sehingga tahun lapan puluhan kampung ini tidak mempunyai jalan perhubungan jalan raya dan pada ketika itu penduduk kampung dan guru-guru yang bertugas di SK Pohon Batu yang pada ketika itu Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) terpaksa berjalan kaki meredah hutan rimba apabila keluar berurusan ke Pekan Keningau atau Tenom yang memakan masa tiga hingga empat hari.