Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Kekalahan Warisan di Kimanis: Amaran penting kepada kerajaan

ANALISA BERITA

0

KEKALAHAN parti pemerintah yang di ketui oleh Parti Warisan Sabah merupakan satu peringatan rakyat agar parti itu terus fokus kepada matlamat asal perjuangan “untuk menjaga hak-hak kepentingan Sabah”.

Hak-hak tersebut termasuklah hak kerakyatan yang berkaitan dengan isu pendatang tanpa izin (PTI) yang telah lama berlaku selain isu-isu tuntutan seperti yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan tuntutan royalti minyak 20% yang masih belum tertunai.

Bagi anak-anak muda, isu peluang pekerjaan merupakan isu utama yang mesti ditangani segera oleh pihak pemerintah dengan menunjukkan pelan jangka sederhana dan panjang.

Kegagalan dalam menunjukkan sebahagian daripada bukti kejayaan terhadap kehendak dan aspirasi masyarakat bakal menyebabkan sokongan rakyat terhadap kerajaan hari ini akan terus merosot.

Semasa kempen PRK Kimanis lepas, sungguhpun isu Pas Sementara Sabah (PSS) telah diterangkan oleh Parti Kerajaan, ternyata kaedah menakut-nakutkan masyarakat oleh pembangkang lebih berkesan dalam meyakinkan pengundi.

Isu PSS telah berjaya diputarbelitkan oleh pihak pembangkang dengan membentuk persepsi bahawa dasar PSS hanya akan memberi kelebihan kepada PTI.

Pembentukan persepsi ini cukup berkesan khususnya di kawasan pengundi KadazanDusun DAN Murut (KDM), walaupun mereka merupakan adalah antara suku kaum yang paling lantang menentang keberadaan Parti Nasional (UMNO) di Sabah yang dicop sebagai perampas hak Sabah termasuklah penyebab isu PTI di Sabah.

Isu PTI ini ternyata jauh lebih penting kepada semua masyarakat tempatan berbanding keberadaan parti Malaya (UMNO) di Sabah.

Dasar PSS jika diteliti secara mendalam merupakan satu cadangan yang  baik bagi penyelesaian kepada isu PTI.

Bagaimanapun beberapa perkara perlu diperhalusi dan diterangkan secara tuntas dan jelas misalnya isu persaingan peluang pekerjaan dan kemudahan awam dan isu kerakyataan seperti didakwa oleh pihak pembangkang.

Pihak kerajaan perlu secara objektif menunjukkan bagaimana dasar PSS bakal memberi kelebihan kepada rakyat tempatan pada masa akan datang khususnya bagi mengatasi masalah kemasukan berterusan PTI yang sukar di bendung berdasarkan polisi dan dasar sistem sedia ada pada hari ini.

Sekiranya dasar PSS ini mampu menunjukkan hasil positif  dalam menangani isu PTI yang telah lama mengancam keselamatan, menyebabkan isu sosial, dan mengubah landskap dan demografi penduduk di Sabah, dasar PSS bakal melonjakkan sokongan rakyat Sabah secara menyeluruh kepada kerajaan hari ini.

Selain isu PTI, kejayaan mendapatkan tuntutan royalti 20% minyak serta pemulangan hak kutipan cukai 40% kepada Sabah juga akan menjadi sebahagian kayu pengukur kepada kerajaan Negeri Sabah walaupun pada hakikatnya isu tuntutan ini memerlukan komitmen kerajaan pusat yang memerlukan hubungan baik di antara  Kerajaan Negeri dan Persekutuan untuk merealisasikan tuntutan.

Kedua-dua tuntutan tersebut sepatutnya tidak sukar di laksana segwra sekiranya Kerajaan Persekutuan benar-benar ikhlas dalam pembentukan Malaysia kerana ia merupakan hak yang seperti terkandung dalam perjanjian Pembentukan Malaysia 1963. Kajian kaedah perlaksanaan pula boleh dilakukan di peringkat kementerian selepas itu.

Satu kejayaan yang ditunjukkan semasa PRK Kimanis adalah kesuburan sistem demokrasi dalam masyarakat pelbagai kaum yang harmoni.

Keputusan pengundian rencam di semua pusat-pusat mengundi, kempen yang tidak dicemari dengan insiden ekstrem oleh masyarakat pelbagai kaum dan agama serta keberanian kedua-dua parti bertanding menyekat kemasukan politik ekstrem yang cuba di bawa masuk ke Sabah merupakan bukti sahih.

Pilihanraya kecil Kimanis kali ini, calon Barisan Nasional (BN) diwakili oleh Datuk Muhammad Alamin, 48,  telah menewaskan calon Warisan Datuk Karim Bujang, 67 thn.

Muhammad memperoleh 12,706 undi, sementara Karim meraih 10,677 undi. Jumlah peratus keluar mengundi adalah 79.92 peratus dengan majoriti 2029 undi, pertambahan sebanyak 1873 undi berbandingan kemenangan Datuk Seri Anifah Aman 156 undi sebelum ini. – (Oleh: Prof Ir. Dr. Rosalam Sarbatly, Panel Penasihat Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah / Pensyarah UMS)

 

 637 total views,  1 views today

Leave A Reply

Your email address will not be published.