NEW DELHI: Gabungan parti diterajui Perdana Menteri India, Narendra Modi, berkemungkinan menggandakan kerusi Parlimennya di selatan negara itu, sekali gus membuktikan pengaruhnya selepas 10 tahun mentadbir.
Keputusan pilihan raya umum (PRU) India selama enam minggu yang akan diumumkan pada 4 Jun ini, menjangkakan kemenangan mudah Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Modi, selepas pengundian berakhir semalam.
Jika ramalan itu benar, maka Modi bakal menjadi perdana menteri India kedua selepas Jawaharlal Nehru, yang memenangi PRU selama tiga penggal berturut-turut.
Terdahulu, peratusan keluar mengundi yang rendah pada PRU bermula 19 April lalu menimbulkan harapan pembangkang bahawa sokongan terhadap Modi semakin berkurang.
Tinjauan keluar mengundi bagaimanapun tidak selalunya tepat di negara paling ramai penduduk di dunia dengan 1.42 bilion orang itu.
BJP lazimnya dilihat sebagai sebuah parti yang bergantung kepada negeri-negeri utara yang besar dan miskin seperti Uttar Pradesh dan Bihar, tetapi penganalisis berkata pengaruhnya kini semakin berkembang ke selatan.
Katanya, populariti Modi, selain perbelanjaan besar untuk jalan raya dan jambatan menarik sokongan majoriti penduduk beragama Hindu, termasuk perasmian sebuah kuil dan pembentukan pakatan dengan kumpulan tempatan yang kuat.
Gabungan Perikatan Demokratik Kebangsaan (NDA) yang diterajui Modi dijangka memenangi 55 hingga 64 kerusi di lima negeri di selatan iaitu Andhra Pradesh, Karnataka, Kerala, Tamil Nadu dan Telangana.
Menurut tinjauan pendapat ABP-Cvoter, BJP dijangka menggandakan 32 kerusi yang dimenanginya pada PRU 2019 dan kini bersedia untuk kemunculan terbesarnya di selatan India.
Pengasas CVoter, Yashwant Deshmukh berkata, BJP kini bersedia untuk penampilan besarnya di selatan India, sekali gus membimbangkan parti pemerintah di sana.
“Jika tinjauan kali ini betul, BJP kelihatan bersedia untuk memasuki Kerala yang menjadi kubu utama parti Komunis, termasuk mempengaruhi sebahagian besar pengundi beragama Kristian di negeri itu.
“Kini mereka boleh berkata, mereka adalah parti pan-India dan populariti Modi adalah perkara yang besar,” katanya .
Sementara itu, Parti Kongres, selaku parti pembangkang utama, membentuk pakatan 37 parti pembangkang iaitu ‘INDIA’ (Indian National Developmental Inclusive Alliance atau Perikatan Inklusif Pembangunan Kebangsaan India).
Pakatan pembangkang itu yakin akan mendapat majoriti jelas iaitu 295 kerusi di Dewan Rakyat yang mempunyai 543 kerusi.
Dalam perkembangan lain, sekurang-kurangnya 33 kakitangan pengundian dalam PRU India meninggal dunia pada hari terakhir mengundi akibat strok haba hanya satu negeri di utara iaitu Uttar Pradesh.
Ketua pegawai pilihan raya bagi Uttar Pradesh, Navdeep Rinwa, di mana pengundian peringkat ketujuh dan terakhir pilihan raya berakhir pada Sabtu, berkata 33 petugas mengundi mati akibat bahang panas. – AGENSI