Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Pakistan bubar Parlimen, beri laluan PRU

0

ISLAMABAD: Presiden Pakistan membubarkan Parlimen bagi memberi laluan untuk pilihan raya umum diadakan di negara itu.

Lapor Al Jazeera, pembubaran itu dilakukan atas nasihat Perdana Menteri, Imran Khan, sekali gus menggagalkan usaha pembangkang untuk menyingkirkan pemimpin tersebut daripada jawatan tertinggi itu.

“Presiden Pakistan, Dr. Arif Alvi perkenan nasihat Perdana Menteri,” jelas kenyataan dari pejabat pemimpin itu.

Kenyataan itu juga bermakna pilihan raya baharu harus diadakan dalam tempoh 90 hari.

Langkah itu diambil selepas Timbalan Speaker Parlimen menolak usul undi tidak percaya terhadap Imran dengan menyifatkannya sebagai `tidak berperlembagaan’.

Terdahulu, Imran dalam satu ucapan disiarkan di televisyen menggesa Parlimen dibubarkan dengan segera memandangkan terdapat campur tangan yang `tidak boleh diterima’ dalam institusi demokrasi Pakistan.

Katanya, kerajaan sementara perlu ditubuhkan untuk mengadakan pilihan raya umum.

Sebelum ini, Imran pernah mendakwa wujudnya `konspirasi asing’ di sebalik usul undi tidak percaya terhadap beliau dalam usaha menjatuhkan kerajaan pimpinannya.

Bulan lalu, pakatan parti pembangkang mengemukakan usul terhadap Imran selepas mendakwa pemimpin itu kehilangan majoriti susulan beberapa ahli parti pimpinannya, Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI) berpaling tadah.

Pakatan parti pembangkang menuduh kerajaan pimpinan Imran mengamalkan rasuah dan mendakwa beliau melakukan salah urus ekonomi di tengah-tengah krisis ekonomi yang semakin memuncak.

Sementara itu, Menteri Penerangan Pakistan, Farrukh Habib berkata, Pakistan akan mengadakan pilihan raya baharu dalam tempoh 90 hari.

Beliau membuat pengumuman itu dalam satu ciapan di Twitter namun keputusan muktamad akan diumumkan oleh Presiden dan Suruhanjaya Pilihan Raya Pakistan. – AGENSI

 

 508 total views,  1 views today

Leave A Reply

Your email address will not be published.