Patuhi kenyataan Ketua Polis Negara – Jauteh
Dakwaan media asing berlaku pencerobohan oleh pihak dari Filipina ke atas Sabah adalah tidak betul.
TIMBALAN Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun mahu rakyat Sabah supaya memahami kenyataan media yang dikeluarkan oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani bahawa laporan media asing yang mendakwa akan berlaku pencerobohan oleh pihak dari Filipina ke atas Sabah adalah tidak betul.
Katanya, kenyataan Ketua Polis Negara mengenai isu itu cukup jelas dan rakyat Sabah tidak perlu risau.
Media antarabangsa baru-baru ini melaporkan satu mesyuarat diadakan pada 1 Dis lepas yang diatur oleh seorang pegawai kanan kerajaan tempatan Wilayah Sulu yang dihadiri 19 Datuk Bandar di sana bagi membincangkan penubuhan ‘Tentera Diraja Sulu’ untuk menawan Sabah dengan 11 daripada Datuk Bandar yang hadir bersetuju dengan rancangan itu.
Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, sehingga kini tiadak ada pengesahan diterima pihaknya mengenai perancangan yang dimaksudkan itu.
Begitu pun tambahnya, PDRM memandang serius mengenai dakwaan itu dan akan mengambil tindakan segera bagi meningkatkan kesiapsiagaan ke tahap tertinggi di Sabah untuk menghadapi sebarang kemungkinan serta ancaman pencerobohan.
Beliau memberitahu untuk memberikan komitmen mengenai dakwaan itu bagi mengelak sebarang insiden pencerobohan berulang di Sabah.
Ketua Polis Negara itu memberitahu bahawa PDRM mempunyai hubungan baik dengan pihak berkuasa Filipina untuk perkongsian maklumat risikan mengenai sebarang aktiviti yang boleh mengancam hubungan akrab serta keselamatan kedua-dua negara.
Jauteh yang diminta mengulas mengenai kebimbangan berterusan rakyat Sabah mengenai isu itu berkata, polis Sabah sentiasa bersiapsiaga dalam semua aspek keselamatan di negeri itu.
“Walaupun tidak ada isu-isu seperti itu kita (PDRM) sentiasa siapsiaga,” katanya kepada media ketika ditemui selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Keningau, di sini pada Jumaat. – Oleh: DG HENRY, EKOK AMIN dan FIDELIS BOYOGO