TENOM (Sabah, Malaysia): Kerajaan negeri akan mencari jalan penyelasaian bagi mengatasi masalah harga getah di Sabah yang merundum jauh berbanding harga siling yang ditawarkan oleh negeri jiran Sarawak.
Menteri Pembangunan Infrastruktur Datuk Peter Anthony berkata, ini bagi mengelakkan agar pekebun di negeri ini tidak menyeludup hasil komoditi itu ke negeri jiran untuk tujuan bagi mendapatkan harga yang lebih mahal.
Katanya, beliau mendapat laporan bahawa baru-baru ini terdapat kegiatan pekebun menyeludup komoditi itu melalui Sipitang untuk tujuan memasarkan getah mereka di negeri itu.
“Mereka berbuat demikian kerana tertarik dengan tawaran harga yang lebih tinggi di sana yang saya difahamkan bezanya antara 50 sen hingga RM1.00 daripada harga getah di negeri ini” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan bot dan injin di dewan Jinuin Jimin Mandalom lewat petang pada Khamis.
Sambil menyifatkan kegiatan itu amat serius, Peter berkata perbuatan menyeludup hasil komoditi dari negeri ini ke Sarawak adalah menyalahi undang-undang.
“Kita tidak mahu perkara ini akan berulang, justeru jalan penyelasaian mengimbangi harga getah negeri ini dengan jiran kita (Sarawak) perlu dilakukan dengan segera” jelas.
Menurut Peter yang juga ADUN Melalap, walaupun harga komoditi getah mengikut harga pasara semasa namun dalam konteks Sabah seharusnya terdapat pendekatan khususnya untuk menangani masalah yang dihadapi oleh pekebun.
Harga getah semasa di Sabah yang diterbitkan oleh Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) – Susu (Latex) RM4.59;, Kepingan Grade 1 RM2.45;, Grade 2 RM2.06;, Kentalan Grade I RM2.32;, Grade II RM1.93 dan Sekerap RM0.46.
“Saya akan berbincang dengan rakan saya Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Junz dan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk mencari menstabilkan harga getah di negeri ini bagi meningkatkan ekonomi pekebun getah selain mengelakkan mereka menyeludup getah ke negeri jiran” katanya.