KENINGAU(Sabah,Malaysia) – Menteri Belia dan Sukan Sabah Phoong Jin Zhe berkata, mulai tahun hadapan kementeriannya akan melaksanakan Pelan Strategik Pembangunan Sukan Sabah 2020-2030 yang lebih teratur ke arah mengambalikan kegemilangan Sabah sebagai kuasa besar sukan di Malaysia.
Katanya, untuk mencapai sasaran itu kementeriannya dengan lebih agresif untuk memberi sokongan dan bantuan khususnya memberikan imbuhan dan ganjaran yang berlandaskan prestasi kepada persatuan sukan negeri serta atlet-atlet cemerlang yang mengharumkan nama negeri di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
“Semoga dengan semangat muafakat yang tinggi, saya percaya suatu hari nanti negeri Sabah menjadi kuasa besar dalam arena sukan di Malaysia,” Katanya kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Penyampaian Pingat Acara Berbasikal dan meninjau perkembangan perjalanan Sukan Sabah (SAGA) Ke-9 di sini, pada Ahad (8 Disember 2019).
Sukan Sabah (SAGA) Ke-9, Keningau 2019 yang dirasmikan Oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Shafie Afdal pada semalam menawarkan Sebanyak 579 pingat yang terbahagi kepada 166 emas, 166 perak dan 247 gangsa dipertandingkan untuk 21 acara yang melibatkan penyertaan daripada 21 daerah di seluruh negeri.
Phoong berkata, kejohanan Sukan Sabah merupakan satu usaha kerajaan untuk mengetengahkan bakat-bakat baharu yang ada dikalangan atlet diperingkat akar umbi.
Katanya, atlet berpotensi yang dikenal pasti dalam kejohanan itu seterusnya akan digilap untuk meneruskan cabaran di peringkat yang lebih tinggi khususnya Sukan Malaysia (SUKMA).
“Saya mengucapkan terima kasih kepada para atlet dari seluruh negeri kerana menampilkan diri sebagai sebahagian daripada calon-calon berbakat dalam temasya Sukan Sabah ini,” Katanya.
Phoong mengajak pengiat sukan khususnya bakat dikalangan remaja supaya melipatgandakan usaha dan menggunakan sepenuhnya kemudahan-kemudahan sukan yang disediakan oleh kerajaan dalam usaha meningkatkan prestasi masing-masing.
“Sesungguhnya saudara-saudari dan adik-adik sebagai pengiat dan ahli sukan merupakan tonggak utama dalam memacu kemajuan sukan di negeri ini,” Katanya.
Sementara itu Phoong merakamkan ucapan tahniah kepada atlet kelahiran Sabah, Andre Anura Anuar kerana Berjaya meraih pingat perak dalam acara lompat jauh di Sukan SEA Filipina 2019 pada Sabtu.
Andre yang berusia 20 tahun berasal dari Tenom turut memecahkan rekod lompat jauh kebangsaan.
Phoong yang bangga dan memuji kejayaan atlet muda itu menyifatkan Andre sebagai bintang sukan baharu di Sabah.