KENINGAU (Sabah, Malaysia) — Kementerian Belia dan Sukan Sabah berpuas hati dengan perjalanan Sukan Sabah (SAGA) Ke-9, kata Pembantu Menteri kementerian itu Arunarsin Taib.
Katanya, kesemua acara yang dipertandingkan berjalan mengikut jadual sepanjang tiga hari temasya dwi tahunan itu bermula.
”Selama tiga ini, saya telah melawat kesemua lokasi acara di Keningau, Tambunan, Tenom dan Nabawan,”
“Atlet di 27 daerah yang terlibat telah menunjukkan komitmen yang sangat tinggi, selain pengurus kontinjen masing-masing menjalankan tugas mereka dengan cukup profesional,” Katanya kepada pemberita ketika di temui di Pusat Media Sukan Sabah (SAGA) Ke-9 di sini, hari ini.
Arunarsin merupakan pemimpin pertama melawat Pusat Media SAGA Ke-9 yang terletak di bangunan Kompleks Sukan Keningau.
Penolong Pengarah Bahagian Media dan Komunikasi Korporat Jabatan Penerangan Malaysia Wan Zainal Shahriman mengiringi Arunarsin sepanjang lawatan beliau ke pusat itu.
Turut berada di pusat itu ialah Pegawai Jabatan Penerangan Daerah Keningau Jaafar Matamin, serta Pegawai Urusetia Pusat Media Sukan Sabah (SAGA) Ke-9 Keningau Mohd Razali Dinshah.
Arunarsin yang merupakan Wakil Rakyat Gum Gum berkata, pencapaian atlet-atlet yang dilahirkan melalui Sukan Sabah merupakan ‘kayu ukur’ bagi setiap atlet untuk ke sukan Malaysia (SUKMA) yang akan diadakan di Johor pada tahun hadapan.
Beliau menasihatkan atlet yang terlibat agar menggunakan seoptimumnya temasya itu sebagai landasan untuk meningkatkan pencapaian tertinggi dalam bidang sukan.
Sukan Sabah yang masuk hari ketiga menyaksikan penguasaan Keningau dengan pungutan 7 pingat emas, 2 perak dan 1 gangsa, diikuti oleh Kota Kinabalu dengan pungutan 4 emas, 8 perak dan 4 gangsa.
Sukan Sabah menawarkan 579 pingat yang terbahagi kepada 166 emas, 166 perak dan 247 gagsa.