TENOM (Sabah, Malaysia): Pembatalan Pas Sementara Sabah (PSS) adalah satu usaha murni kerajaan yang diketuai oleh Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal kata Presiden KDM Malaysia Datuk Peter Anthony.
Katanya, Kabinet Negeri Sabah dalam mesyuarat pada Rabu lepas telah memutuskan untuk membatalkan pelaksanaan PSS.
Peter yang juga Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan)ditemui selepas Majlis Perasmian Papan Tanda Pelancongan Tenom Sempena Karnival Tahun Baru Cina 2020 dan Walkabout CNY sekitar Pekan Tenom di sini kelmarin.
“Apabila sahaja rakyat bersuara kita harus mendengar,” katanya.
Katanya, keputusan Ketua Menteri dan juga barisan kabinet didalam membatalkan pelaksanaan PSS adalah satu keputusan yang berani dan begitu tepat sekali bagi memenuhi keperluan ataupun permintaan rakyat.
“Saya percaya seperti mana yang saya nyatakan sebelum ini perlunya cari satu kaedah untuk bagaimana kita menyelasaikannya”
Menurut Menteri Pembangunan Infrastruktur dan ADUN Melalap itu, masalah Pendatang Tanpa Izin (PTI)di negeri sebenarnya telah lama berlaku pada kerajaan yang lalu.
“Tetapi bagi kita biarlah perkara tersebut kita selasaikan bersama sama ada pihak pembangkang, rakyat dan kerajaan.Kita kena bekerjasama untuk sama-sama menyelasaikan masalah ini oleh kerana saya amat percaya bahawa masalah ini bukanlah masalah seorang, bukan masalah kerajaan. Dipihak kerajaan juga sudah tentu kita sungguh-sungguh untuk menyelasaikan masalah ini dan hari ini PSS telah dibatalkan dan rata-rata rakyat negeri Sabah menyambut baik pembatalan tersebut” jelasnya.
Tambah Peter, bagi mereka yang memahami PSS, tujuan pelaksanaannya adalah tujuan murni dan baik serta menyelasaikan masalah PTI yang telah begitu lama di Sabah.
“Apapun kita menghormati keputusan rakyat yang mahukan supaya pelaksanaan PSS dibatalkan. Saya percaya perlunya satu keputusan ataupun proses bersama daripada semua pihak, bukan sahaja daripada kerajaan tetapi juga swasta, rakyat dan juga pihak-pihak yang berwajib” katanya lagi.