PAPAR: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick berkata, matlamat pemukiman parti Upko yang diadakan selama tiga hari bertujuan untuk memperkasa agenda perjuangan parti selain persiapan menghadapi pilihanraya yang akan datang.
Katanya, ia juga sebagai timbang tara untuk menilai keberkesanan dan capaian perkhidmatan parti itu selepas dua tahun pilihanraya umum berlalu.
“Saya telah berkongsi wawasan dan pendekatan kepimpinan sebagai Presiden dengan mengingatkan tujuan berkepimpinan haruslah berdasarkan kepada tujuan dan matlamat parti UPKO ditubuhkan.
“Selepas dua tahun sejak pilihanraya umum diadakan dan selepas menjadi sebahagian daripada Kerajaan MADANI, kita telah banyak melaksanakan perkhidmatan kepada rakyat terutama berkaitan pendidikan dan keusahawanan serta menjayakan Dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara melalui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
“Selepas dua tahun, kita menilai keberkesanan perkhidmatan kita ini dan seterusnya persiapan menghadapi pilihanraya negeri Sabah tahun ini. Pemukiman Kepimpinan ini telah mengilhamkan banyak pandangan yang akan menjadi panduan kepada saya dan Majlis Tertinggi membuat keputusan-keputusan dasar parti,” katanya. Ketika berucap pada majlis penutupan Pemukiman Kepimpinan UPKO di sini, Ahad.
Turut hadir dalam pemukiman tersebut ialah dua mantan Presiden UPKO Tan Sri Bernard Dompok dan Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau serta mantan Timbalan Presiden Datuk Seri Panglima Wilfred Bumburing di mana ketiga-tiga mereka turut menyampaikan ucapan.
Sebanyak enam kertas kerja dibentangkan sepanjang pemukiman tersebut dan empat bengkel telah diadakan.
“Kita telah merancang banyak program di lapangan untuk memastikan momentum perkhidmatan kita terus diperkasakan. Mudah-mudahan UPKO akan memenangi lebih banyak kerusi dalam pilihanraya negeri nanti melalui sokongan dan penerimaan rakyat kepada hasil perkhidmatan dan perjuangan kita dalam kerajaan ini,” katanya.