BANGKOK: Sekurang-kurang 28 maut termasuk kanak-kanak, manakala 25 lagi cedera dalam serangan udara oleh junta Myanmar di sebuah kawasan tahanan sementara di negeri Rakhine, kata sebuah kumpulan bersenjata etnik minoriti, semalam.
Tentera Arakan (AA), yang terbabit dalam pertempuran sengit dengan tentera junta untuk menguasai Rakhine, melaporkan kematian itu.
Difahamkan, kumpulan bersenjata etnik minoriti berkenaan merampas sebahagian besar wilayah sempadan Myanmar sejak setahun lalu dan hampir memutuskan hubungan dengan ibu negeri, Sittwe.
Konflik di Rakhine adalah salah satu daripada elemen penting pertempuran berdarah yang melanda Myanmar sejak tentera menggulingkan kerajaan pimpinan Aung San Suu Kyi dalam rampasan kuasa 2021, sekali gus mencetuskan pemberontakan bersenjata secara meluas.
AA melalui saluran Telegramnya melaporkan bahawa sebuah jet tentera mengebom kawasan tahanan di Mrauk-U sekitar jam 4.45 petang kelmarin. Kawasan itu dilapor menempatkan ahli keluarga tentera junta yang ditahan oleh AA.
“Mereka yang terkorban dan cedera adalah ahli keluarga tentera Myanmar. Kami menahan mereka ketika pertempuran.
“Ketika kami sedang membuat rancangan untuk membebaskan tahanan berkenaan, mereka telah dibom, menyebabkan sembilan kanak-kanak termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun turut terkorban,” kata AA.
Mangsa lain yang turut terkorban adalah wanita, berdasarkan senarai yang dikeluarkan oleh AA.
Gambar-gambar selepas kejadian yang dimuat naik di saluran Telegram menunjukkan barisan panjang mayat yang diletakkan di kawasan berumput, ditutup dengan kain putih.
AFP cuba menghubungi pihak junta untuk mendapatkan komen mengenai tragedi itu tetapi belum berjawab, setakat semalam.
Tentera junta kini bergelut untuk melawan tentangan terhadap pemerintahan mereka di pelbagai bahagian di Myanmar dan kerap dituduh melancarkan serangan udara dan operasi pasukan tentera ke atas orang awam.
Tidak jelas sama ada serangan di Mrauk-U itu merupakan kesilapan sasaran atau jika pihak junta tidak menyedari kawasan tersebut digunakan sebagai tapak tahanan untuk keluarga tentera.
Selain kumpulan belia ‘Pasukan Pertahanan Rakyat’ yang muncul untuk menentang rampasan kuasa, tentera junta juga berdepan dengan pelbagai kumpulan bersenjata etnik yang telah lama wujud serta memiliki kelengkapan ketenteraan yang baik.
November lalu, Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) memberi amaran bahawa Rakhine sedang menuju ke arah krisis kebuluran akibat pertempuran berterusan yang memberi tekanan terhadap perdagangan dan keluaran pertanian.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini, turut melaporkan bahawa lebih 3.5 juta orang dipindahkan akibat konflik di Myanmar, meningkat sebanyak 1.5 juta berbanding tahun lalu. – AFP