Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Penduduk nekad usung keranda lintas sungai

0

KUPANG: Sekumpulan penduduk Desa Manubelon di wilayah Amfoang Barat Daya di Nusa Tenggara Timur (NTT), terpaksa mengusung keranda seorang penduduk yang meninggal dunia menyeberang sungai bagi menyempurnakan pengebumian berikutan masalah kemudahan di kawasan itu.

Rakaman aksi penduduk itu tular di beberapa laman media sosial dan kumpulan WhatsApp.

Dalam video berdurasi 24 saat yang diperoleh Kompas.com, dapat dilihat 10 penduduk menyeberang Sungai Kapsali di Kampung Manubelon sambil mengusung keranda.

Penduduk dilihat bertungkus lumus membantu menghantar jenazah tersebut ke seberang sungai walaupun paras air agak dalam mencecah bahagian dada mereka.

“Kejadian itu berlaku minggu lalu. Walaupun paras air agak dalam mereka terus berjalan perlahan-lahan ke hujung sungai dan dijemput oleh penduduk lain,” kata  Ketua Mukim Amfoang Barat Daya, Yesua To.

Menurut Yesua, penduduk nekad berbuat demikian kerana satu-satunya jambatan yang menghubungkan kawasan itu rosak dan tidak boleh dilalui kenderaan akibat banjir.

Yesua berkata, insiden itu bukan kejadian pertama kerana beberapa hari sebelum itu jenazah penduduk turut diusung ke seberang sungai.

“Selepas jambatan ini rosak dan patah, penduduk mengalami kesukaran termasuk membawa jenazah mereka yang telah meninggal dunia.

“Kami berharap pihak kerajaan di Kupang dan pemerintah pusat segera membaiki jambatan ini agar penduduk dapat menggunakannya semula,” jelasnya.

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.