SOOK (Sabah, Malaysia): Penghayatan Rahmah yang betul boleh cipta model kesejahteraan berterusan dan perpaduan Negara.
Ahli Dewan Negara, Datuk Abdul Ghani Datuk Hj. Mohd Yassin berkata,dengan penghayatan konsep rahmah oleh setiap individu Muslim di negara ini dapat menjadi model Negara Islam terbaik dan mencipta kegemilangan kesejahteraan dalam kalangan Negara-negara Islam dan Negara bukan Islam sedunia.
Katanya, Umat Islam juga dituntut agar terus memperkukuhkan lagi hubungan yang baik dan pada masa yang sama, perpaduan yang sedia ada terus dipelihara dan ditingkatkan lagi supaya keamanan dan keharmonian hidup rakyat pelbagai kaum di Negara ini terus berkekalan dalam memacu pembangunan dan menjadi bangsa yang maju, berdaya saing dan cemerlang.
“Semangat perpaduan ini perlu dipupuk terutama di kalangan generasi muda agar lebih memahami dan menghargai makna kehidupan yang penuh kasih sayang, prihatin dan aman damai dengan memiliki nilai-nilai murni dan kehidupan beragama, bermasyarakat dan bernegara melalui jalinan perasaan saling hormat menghormati antara satu sama lain” katanya semasa berucap merasmikan Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1441H/2019M peringkat Daerah Kecil Sook di Dewan Serbaguna di sini baru-baru ini.
Justeru itu katanya, umat Islam perlu jadikan Maulidur Rasul tahun ini sebagai momentum untuk mengerah segala tekad, azam dan kudrat yang ada kepada kita untuk mencontohi akhlak mulia Rasulullah dalam setiap pekerjaan kehidupan Baginda ke arah mewacanakan hidup yang Islami supaya beroleh kebahagian di dunia dan di akhirat.
” Sambutan Maulidur Rasul sebagai hari yang penuh bersejarah dan bermakna ini untuk kita bersama-sama mengagungkan, menyanjung tinggi, mempertahankan dan membuktikan kecintaan kita kepada Nabi Muhammad dengan penuh komitmen dan kesungguhan,
“Majlis ini juga dapat menyemarakkan dan menyuburkan roh dan semangat keislaman dalam kehidupan kita yang terus bersatupadu dan bekerjasama bertunjangkan kepada akidah Islamiah” jelasnya.
Menurut Ghani, Tarikh 12 Rabiulawal dalam bulan Hijrah Islam adalah tarikh keramat dalam sejarah umat Islam di seluruh dunia. Kedatangan Nabi Muhammad merupakan satu rahmat terbesar dan anugerah teragung yang Allah SWT berikan kepada alam semesta ini sebagai titik tanda kelahiran agama Islam yang membawa kepada cahaya ilahi.
“Islam yang kemudiannya telah membawa rahmat kepada sekalian alam menandakan bahawa Islam datang dengan mesej kesejagatan yang menyakini kita akan kebenaran agama Islam. Sebagai umat yang menginginkan kehidupan yang sempurna di dunia dan akhirat maka kita perlu kembali kepada ajaran al-Quran dan as-Sunnah yang amat dituntut oleh Islam. Al-Quran diturunkan sebagai petunjuk bagi orang yang bertaqwa” katanya.
Katanya, Umat Islam wajar merenung kembali sirah Rasulullah dan mengkaji sendiri tentang manusia teragung ini dan peranannya dalam pembangunan manusia sejagat. Maulidur Rasul juga merupakan masanya bagi umat Islam untuk memperingati semula Rasulullah SAW dan seterusnya menjadikan contoh sifat dan kehidupan Baginda teladan yang terbaik.
“Kita penuh keyakinan bahawa hanya melalui al-Quran dan as-sunnah sebagai sumber ilmu, kita dapat memacu dan menjadi umat yang cemerlang dalam semua aspek kehidupan yang diredhai Allah. Selagi umat Islam berpegang teguh kedua-duanya, al-Quran dan as-sunnah, kehidupan kita akan sentiasa berada pada jalan yang lurus dan diredhai Allah” jelasnya lagi.
Sehubungan itu, Ghani yang juga Ketua USIA Bahagian Pensiangan berkata, perbelahan mahupun perpecahan di kalangan umat Islam tidak akan berlaku selagi berpegang teguh kepada al-Quran dan as-Sunnah.
Beliau berkata, bersesuaian dengan Tema sambutan Sambutan Maulidur Rasul tahun ini iaitu ‘Negara Rahmah, Ummah Sejahtera’ adalah bertepatan dengan Islam yang merupakan agama rahmah, mengajak manusia untuk saling hormat menghormati, berkasih sayang, bertoleransi, saling memaafkan dan bersifat belas kasihan,”
Tambahnya, kasih sayang yang dianjurkan oleh Islam dapat dilihat melalui konsep rahmah seperti ditekankan dalam al-Quran dan konsep Rahmatan Lil Alamin yang dibawa oleh Rasulullah merangkumi segenap aspek kehidupan termasuk sikap adil, berkasih sayang, bertolak ansur, bersangka baik, berlemah lembut, perdamaian dan harmoni. Dimana, dalam membina dan menyuburkan suasana kehidupan harmoni, pembangunan kerangka konsep Rahmatan Lil Alamin di Negara ini mengambilkira asas-asas konsep tersebut seperti termaktub di dalam al-Quran dan hadis. Sifat rahmah adalah bukti ketinggian akhlak dan keperibadian unggul sesebuah masyarakat.
Sempena majlis tersebut, kontinjen dari SMK Sook muncul sebagai johan pertandingan sepanduk diikuti oleh Kg.Tenggulon Daya dan KAFA Daerah Sook di tempat kedua dan ketiga.
Sementara itu kontinjen teramai disandang kontinjen Kafa Daerah Sook manakala kontinjen terbaik dirangkul oleh kontinjen SMK Sook.
Hadir sama Pengerusi penganjur, Haslee Bin Sairin @ Harimin, wakil Ketua Polis Daerah Keningau ASP Ronaidi Jaafar, ketua-ketua KAFA dan Pengerusi-Pengerusi Masjid dan Surau Daerah Kecil Soon.