Eksklusif
Oleh: KALAWON SALANGIT
PENSIANGAN (Sabah, Malaysia): Di Pulau Pinang dan Melaka warisan serta pengaruh penjajah dijadikan produk pelancongan, malangnya di kawasan pedalaman Sabah khususnya Pensiangan kesan dan peninggalan perang dunia kedua yang memiliki nilai sejarah yang sangat tinggi dipinggirkan, mungkin kerana masyarakat tidak tahu untuk memenafaatkannya atau pihak berwajib tidak tertangan untuk melakukannya.

Alat-alat peperangan seperti senjata yang terdapat di merata tempat di bumi pedalaman, dan bangunan yang dibina pada era peperangan di Pensiangan masih wujud, namun peninggalan bersejarah yang boleh dihitung itu sesetengahnya menunggu masa menyembah bumi sementara di lokasi lain terpaksa dirobohkan untuk memberi laluan kepada arus pembangunan.
Pensiangan pernah diistihar sebagai sebuah Pejabat Daerah Kecil pada tahun 1920 yang ditadbir oleh Mr. I.C. Peck sebagai Penolong Pegawai Daerah yang pertama.
Menurut fakta, pegawai atasan pejabat itu dibekalkan kuda sebagai kenderaan untuk berurusan ke Pejabat Residen yang terletak di Keningau, sementara kakitangan biasa berjalan kaki yang mengambil masa berminggu-minggu untuk sampai ke lokasi.
Selain bangunan pejabat pentadbiran, beberapa buah bangunan kedai yang dibina oleh peniaga Tionghua di pekan itu yang sehingga hari ini masih wujud dan pernah dikenalpasti memiliki nilai sejarah yang boleh dijadikan sebagai produk pelancongan.
Tuoh Tampis (gambar) salah seorang penduduk Pensiangan menceritakan butiran mengenai bangunan itu, apa yang beliau sifatkan memiliki nilai tersendiri yang boleh mengambit pelancong ke kawasan terpencil itu.
Menurut beliau terdapat dua bangunan lama yang masih kekal dengan bentuk dan struktur asalnya yang usianya mencacah hampir 100 tahun.
Menceritakan kewjudan banguan-banguan tersebut, Tampis berkata, ia didirikan oleh tiga orang peniaga Cina yang datang mudik menyusuri sungai Tagol dari Kalimantan Timur Indonesia yang kemudiannya bermastautin di Pensiangan yang akhirnya memiliki kewarganegaraan sebaik negara ini mencapai kemerdekaan.
Bangunan yang semakin ditelan zaman itu masih wujud pada sehingga kini namun salah satu daripada bangunan lama yang dikenali sebagai kedai Goh Chung Fatt telah ditinggalkan oleh pemiliknya yang berhijrah ke Nabawan dan Keningau untuk kelangsungan perniagaan yang lebih besar.
Sebuah bangunan yang dikenali Tai Tong Hing masih beroperasi walaupun bangunannya semakin dimamah usia.
Kedai ini masih jadi tumpuan penduduk di sekitarnya dan di sinilah juga kakitangan Klinik Kesihatan Pensiangan dan warga Sekolah Kebangsaan Pensiangan yang kini dijadikan sekolah K9 bergantung untuk mendapatkan barang-barang keperluan harian mereka.
Sebuah lagi bangunan lama yang dikenali sebagai kedai Yong Yong telah diubahsuai oleh Hj. Arshad Ambikin Liang yang mengambil alih perniagaan itu daripada pemilik asal yang telah berhijrah.
Tampis yang mewakili penduduk di kawasan Pensiangan mempunyai harapan yang tinggi supaya nilai sejarah bangunan-bangunan lama itu dibangunkan, sebagai satu produk pelancongan dan meletakkan kepercayaan kepada Jabatan Muzium Sabah untuk melakukan sesuatu supaya pekan bersejarah itu dilakarkan dalam peta pelancongan negara sebagai khazanah yang bernilai tinggi.