PARIS: Lawan Imane Khelif selepas ini, Luca Anna Hamori dari Hungary sama sekali tidak gentar untuk memasuki gelanggang bersama petinju dari Algeria berkenaan yang sebelum ini dikaitkan dengan isu pertikaian jantina.
Khelif yang menjadi tumpuan kerana gagal ujian kelayakan jantina Persatuan Tinju Antarabangsa di kejohanan dunia tahun lalu, mara ke peringkat lapan terbaik apabila Angela Carini meninggalkan pertarungan mereka selepas 46 saat, dengan petinju Itali berkenaan berkata, dia mengalami kesakitan yang teruk selepas ditumbuk.
Hamori menewaskan petinju Australia, Marissa Williamson dalam kategori welterweight semalam untuk mara ke suku akhir yang bakal menemukannya dengan Khelif – pemenang pingat gangsa di kejohanan dunia 2022, esok.
“Kami tidak bertemu atau bertarung sebelum ini. Saya tidak kisah mengenai cerita atau apa yang berlaku di media sosial ketika ini, saya hanya mahu kekal fokus kepada diri sendiri,” kata Hamori.
“Saya ke sini untuk meraih pingat Sukan Olimpik. Saya tidak kisah mengenai apa pun. Saya akan memasuki gelanggang dan memastikan saya memperoleh kemenangan. Saya mempercayai jurulatih dan diri sendiri.
“Saya tak takut. Seperti saya katakan, saya tidak kisah mengenai apa yang heboh di media sosial.”
Ditanya mengenai keputusan Carini untuk menarik diri ketika pertarungan, Hamori berkata: “Itu pilihannya. Saya tidak faham. Saya fikir semua petinju mempunyai pemikiran sama seperti saya, contohnya tidak mengaku kalah tetapi itu pilihan dia sendiri… saya tahu yang saya tak akan melakukannya, sekali-kali tidak dalam hidup saya.” – REUTERS